Saad Ichalalene tegaskan pemilihan pemain AMD bukan sekadar ‘serkap jarang’ 

1,124

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Saad Ichalalene menegaskan bahawa pemilihan pelatih-pelatih yang dimasukkan ke dalam Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Ini adalah untuk menyangkal pertuduhan-pertuduhan negatif yang dilemparkan kepada program tersebut yang dikatakan mengutamakan ‘kroni’ atau pilih kasih.


“Kami bukan lakukan pemilihan sekadar sehari untuk pemain datang dan tunjukkan kebolehan mereka untuk sertai AMD.

Ia adalah proses yang panjang sehingga memakan masa satu atau dua tahun untuk seseorang pemain bagi kami kenal pasti kemampuan pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, individu yang dilantik selaku panel penilai dan pencari bakat adalah mereka yang mempunyai pengalaman serta kelayakan yang sewajarnya.

Berdasarkan persembahan semasa daripada kesemua pelatih yang diserap ke AMD, Saad percaya bahawa mereka semua dipilih berdasarkan kemampuan dan bukan melalui proses ‘pintu belakang’.

“Ini adalah antara sebab mengapa kami memperkenalkan bahagian pencari bakat untuk beberapa tahun lalu bagi memantau kesemua kejohanan yang berlaku di dalam negara.

Saya rasa tidak perlu dinafikan kerana ia bukan dilakukan oleh seseorang sahaja, setakat ini apabila kita lihat persembahan pemain, saya rasa pencari bakat tidak melakukan banyak kesilapan.”

Pada masa yang sama, Saad juga berharap agar kesemua peminat bola sepak di Malaysia bersabar dan tidak meletakkan tekanan yang tinggi kepada program pembangunan yang kini sedang giat dilakukan.

Beliau ingin kesemua pihak memahami bahawa proses pembangunan memerlukan tempoh masa yang lebih panjang bagi mendapatkan hasil yang diinginkan.

“Perjalanan ini sebenarnya masih panjang, bila kita bercakap tentang pemain muda kita, kita perlu membiarkan mereka untuk sentiasa memperbaiki.

Ia mengambil masa, walaupun di usia 17 tahun, pembangunan bola sepak sebenarnya masih belum selesai, kamu perlu bersabar dan memahami erti sebenar pembangunan bola sepak.”

Peminat bola sepak di Malaysia juga perlu memahami bahawa proses ini akan memakan masa yang panjang dan bukan sekadar untuk mendapatkan kejayaan segera.

“Kamu perlu bersabar kerana ia tidak akan datang sekelip mata, ada pemain yang mencapai tahap terbaik mereka di umur 24 atau 25.

Mungkin ada seorang yang mencipta fenomena untuk cemerlang awal, tapi ia sangat istimewa dan jarang-jarang berlaku.”

Beliau nyata gembira dengan penganjuran kejohanan Piala Supermokh tahun ini yang turut disertai oleh beberapa akademi besar dari luar negara seperti Paris Saint-Germain serta Cerezo Osaka.

Kejohanan pada kali ini memperlihatkan kemeriahan luar biasa tatkala ahli keluarga pemain turut sama-sama hadir bagi memberi sokongan kepada mereka yang bertanding.

“Saya perlu katakan yang setakat ini kami sangat gembira.

Kami sudah lakukan persiapan panjang untuk capai ke tahap ini, saya dapat melihat pemain menikmati saat ini serta mendapatkan pelbagai pengalaman positif daripanya.”