Kerana cintakan bola sepak kami sanggup bertahan dalam kepayahan bekerja dan bermain bola sepak – Kapten Harimau Buta

247

Kapten pasukan bola sepak Harimau Buta, Rollen Marikim memberitahu cinta mereka terhadap sukan bola sepak menjadi pembakar semangat untuk mereka teruskan bermain walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Menurut Rollen, beliau dan rakan sepasukannya bukanlah pemain bola sepak sepenuh masa tetapi pemain bola sepak sambilan yang mana mereka turut mempunyai pekerjaan hakiki.


“Jujur saya kata kalau saya tak sayang bola sepak, saya letih sebenarnya datang latihan pagi kerana saya kerja di hospital syif malam dan saya yakin rakan sepasukan saya juga sama seperti saya kerana habis sahaja latihan mereka terus pergi kerja.

Kami sayangkan bola sepak sebab itu kami sanggup bertahan dalam kepayahan bekerja sambil bermain bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, lokasi latihan yang berbeza juga menjadi salah satu cabaran terbesar buat beliau dan rakan sepasukan kerana mereka menggunakan pengangkutan awam untuk ke padang latihan.

Skuad Harimau Muda berlatih di Stadium Hoki Jalan Duta dan juga di padang futsal Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rollen dan rakan sepasukan kini sedang dalam persiapan untuk terbang ke India bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Buta Asia pada 11 November ini yang merupakan kelayakan untuk ke Piala Dunia Orang Buta 2023.

Kejohanan Bola Sepak Buta Asia akan menyaksikan sebanyak 10 pasukan akan turut serta bagi merebut slot ke Piala Dunia Orang Buta 2023.

Dalam pada itu, penyerang utama skuad Harimau Buta iaitu Mohd Azwan Azhar pula berkata beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Bola Sepak Buta Asia dan menyuarakan keyakinan mereka mampu lakar sejarah.

“Persiapan berjalan dengan cukup baik sekali dan kami sudah siap untuk menghadapi mana-mana pasukan pada kejohanan itu nanti. Dengan persiapan yang cukup dan mantap saya yakin dengan kemampuan kami untuk layak ke Piala Dunia Orang Buta 2023.”

Walaupun yakin dengan kemampuan pasukannya, Azwan mengakui pasukan dari negara China akan menjadi pasukan pilihan kerana mereka adalah sebuah skuad yang cukup ampuh.

Sebanyak 10 pasukan yang bersaing akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir sekaligus sudah selangkah untuk menempah tiket Piala Dunia Orang Buta 2023.