Ada kelab luar tak lepaskan pemain untuk Piala AFF, mungkinkah Malaysia juga bakal beraksi tanpa beberapa bintang?

1,591

Tidak sampai dua bulan lagi, kejohanan Piala AFF bakal membuka tirainya dengan Malaysia diletakkan dalam kumpulan B dan akan memulakan saingan menentang Myanmar di gelanggang lawan.

Setiap pasukan yang terlibat kini dilihat sedang melakukan persiapan menjelang kejohanan itu dengan beberapa negara termasuk Malaysia sudah mengumumkan beberapa perlawanan persahabatan.


Namun, Thailand dan Vietnam menerima tamparan hebat selepas bintang mereka iaitu Chanathip Songkrasin dan Nguyen Quang Hai sah tidak akan beraksi pada kejohanan kali ini.

Chanathip menegaskan bahawa beliau mahu berehat selepas Liga Jepun tamat manakala Quang Hai pula tidak dilepaskan oleh kelabnya di Perancis, Pau FC kerana kejohanan itu tidak berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Malaysia juga mungkin bakal beraksi tanpa beberapa bintang pada kejohanan itu sekiranya terdapat kelab yang enggan melepaskan kelab mereka untuk kejohanan tersebut.

Skuad negara bakal berkumpul untuk kem latihan sebelum perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 9 Disember dan Maldives pada 14 Disember, diikuti Piala AFF yang akan bermula 20 Disember dan berakhir pada 16 Januari 2023.

Ketika ini, para pemain sedang beraksi dalam Piala Malaysia yang akan menutup tirainya pada 26 November depan.

Jadi pemain yang dipanggil mewakili negara mungkin hanya mempunyai beberapa hari masa rehat sebelum perlawanan persahabatan dan kejohanan Piala AFF bermula.

Dan mereka juga perlu melapor diri untuk pra musim yang kebiasaannya pada bulan Januari.

Jadi mungkin ada kelab yang tidak akan melepaskan bintang mereka bagi menghadapi Piala AFF kerana bimbang pemain mereka akan kembali dalam keadaan tidak cergas atau cedera untuk menghadapi musim baru, terutamanya dengan rehat yang tidak mencukupi.

Johor Darul Ta’zim (JDT) contohnya mungkin agak keberatan untuk melepaskan pemain mereka memandangkan kebanyakan wakil skuad kebangsaan adalah dari kelab itu.

Berdasarkan panggilan terbaru skuad kebangsaan untuk ke King’s Cup di Chiang Mai, Thailand bulan lalu, sembilan daripada senarai 24 pemain adalah dari JDT, manakala enam daripada 16 pemain yang berada dalam senarai bersedia juga adalah daripada JDT.

Seperti musim lalu, JDT kemungkinan akan melakukan sesi latihan pramusim di luar negara pada bulan Januari.

Sekiranya Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 16 Januari, ini bermakna pemain tidak akan mempunyai rehat yang cukup sebelum terlibat dalam pramusim untuk kelab masing-masing.

Sekiranya JDT berhasrat untuk melepaskan hanya beberapa pemain untuk ke Piala AFF, itu sebenarnya bukanlah masalah kerana kelab tidak wajib melepaskan pemain mereka ketika bukan kalendar FIFA.

Malah, kelab Eropah seperti Pau FC juga tidak mahu melepaskan pemain itu kerana mempunyai komitmen dengan kelab.

Lagipun, musim depan Liga Super sudah berubah format dengan lebih banyak pasukan, bermakna lebih banyak perlawanan yang harus ditempuhi, justeru adalah penting untuk menjaga kecergasan pemain.

Sekiranya pemain-pemain, misalnya dari JDT, hadir dalam sesi pramusim tanpa kecergasan penuh, ia mampu menjejaskan persiapan untuk musim depan, lebih-lebih lagi apabila AFC Champions League sudah bermula kelak.

Pada tahun lalu, ketiadaan beberapa pemain JDT dalam skuad Piala AFF di Singapura memberi kesan yang begitu ketara kepada pasukan selepas tersingkir pada peringkat kumpulan.