Pasukan badminton junior Pahang cipta sejarah di National Interstate Championship 2022
Pasukan badminton junior Pahang telah mencipta sejarah apabila pasukan lelaki B-12 mereka telah berjaya muncul sebagai juara National Interstate Championship 2022 selepas menewaskan pasukan pilihan Kedah 2-1 dalam perlawanan akhir yang cukup sengit.
Kejohanan yang berlangsung di Johor Bharu itu juga menyaksikan skuad wanita B-12 Pahang turut berjaya meraih tempat ketiga selepas menewaskan pasukan Kuala Lumpur dengan keputusan sama.
Presiden Badminton Negeri Pahang, YHM Dato’ Setia Pahlawan Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah cukup gembira dan bersyukur dengan kejayaan pemain-pemain muda, bagaimanapun enggan terlalu selesa sebaliknya berkata perjalanan mereka masih jauh.
“Syukur Alhamdulillah di atas kejayaan ini tetapi perjalanan kami masih jauh dan kami harus kekal konsisten.
Buat pertama kali kita layak ke peringkat akhir Natonal Interstate Championship. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemain kami di mana muncul sebagai juara bagi kategori lelaki B-12 dan pemenang tempat ketiga bagi kategori wanita B-12 adalah satu langkah yang cukup positif.
Apa yang pasti kerja keras mereka iaitu jurulatih dan pemain di dalam sesi latihan sebelum ini telah membuahkan hasil dan sudah pasti mereka berhak meraikan kejayaan ini yang boleh dilihat satu permulaan yang baik bagi sukan badminton di negeri Pahang,”
ujarnya.
Beliau juga mahu pemain-pemain terus kekal fokus dan konsisten kerana optimis dengan bakat pemain junior Pahang yang mampu menjadi pemain berkelas dunia pada masa hadapan.
“Kita perlu kekal fokus dan konsisten di mana saya optimis bakat-bakat baharu pemain junior Pahang masih belum diolah potensi mereka secara maksimum dan jika kita kekal konsisten, saya yakin Pahang mampu melahirkan jaguh baharu kerana mereka memiliki kualiti untuk menjadi pemain berkelas dunia di masa akan datang.”