Park Ji-hyeon dan Rueben Jude Balraj, calon pengganti isi jawatan jurulatih kecergasan Harimau Malaya

1,081

Skuad kebangsaan negara menerima tamparan hebat apabila jurulatih kecergasan, Dr Gokhan Kandermir dilaporkan telah meninggalkan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menerima tawaran di negara asalnya, Turki.

Beliau merupakan salah seorang individu penting dalam skuad Kim Pan-gon yang terlah berjaya membantu negara layak ke Piala Asia Qatar.


Walaupun Dr Gokhan telah meninggalkan FAM, badan itu masih mempunyai beberapa individu yang pakar dalam bidang sama iaitu Park Ji-hyeon dan juga Rueben Jude Balraj.

Ji-hyeon, 34, ketika ini merupakan jurulatih kecergasan bagi pasukan B-23 kebangsaan yang bekerja dengan E Elavarasan.

Beliau mempunyai lesen B AFC dan lesen Kecergasan Tahap 1 AFC dan pernah terlibat di peringkat kelab dan negara sebelum menerima tawaran FAM.

Beliau pernah menjadi jurulatih kecergasan skuad B-20 dan skuad B-23 Korea Selatan, serta penolong jurulatih kecergasan pasukan senior.

Selain itu, beliau juga pernah bekerja dengan Suwon Samsung sebagai jurulatih kecergasan serta Seoul Eland FC sebagai jurulatih kecergasan dan ketua sains sukan.

Pemilihannya mungkin dianggap sesuai kerana Pan-gon mengenalinya daripada Korea Selatan dan mempunyai komunikasi yang baik.

Seorang lagi calon yang mungkin turut dipertimbangkan adalah Rueben yang kini merupakan ketua Pasukan Prestasi Tinggi FAM.

Antara tugasan utama pasukan ini adalah menyusun keputusan ujian, analisis perlawanan, laporan kecederaan dan lain-lain untuk kegunaan skuad kebangsaan.

Pengalaman beliau dalam bola sepak tempatan amatlah meluas kerana pernah berkhidmat dengan kelab dan juga negara dalam bidang fitness and conditioning.

Beliau pernah berkhidmat dengan pasukan Melaka dan Kelantan sebelum ditawarkan untuk bersama FAM pada tahun 2014.

Rueben merupakan salah seorang individu yang memainkan peranan penting dalam skuad treble Kelantan pada 2012.

Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sains Sukan dari Universiti Malaya dan dikenali pakar dalam aspek fizikal pemain.

Beliau juga dilihat tidak mempunyai masalah untuk menggantikan tempat Dr Gokhan kerana sudah biasa bekerja dengan Pan-gon dalam Pasukan Prestasi Tinggi FAM.

Tidak dinafikan bahawa pemergiaan Dr Gokhan pasti akan dirasai memandangkan beliau dibawa sendiri oleh Pan-gon ketika pertama kali mengambil alih skuad kebangsaan, dan perlu diganti dengan segera.

Ini memandangkan Malaysia bakal menghadapi perlawanan persahabatan pada 9 dan 14 Disember depan, diikuti Piala AFF yang akan bermula pada 20 Disember.

Justeru, FAM harus bertindak segera melantik pengganti beliau sebelum skuad negara kembali berkumpul.