Kerjasama dengan ALTY Orthopaedic Hospital beri tonik tambahan buat Harimau Buta untuk realisasi impian ke Piala Dunia

210

Ketua jurulatih pasukan bola sepak Harimau Buta, Sunny Shalesh teruja apabila dapat menjalin kerjasama dengan ALTY Orthopaedic Hospital menerusi kempen #Sports4All yang akan menjadi rakan strategi kesihatan pasukan.

Kerjasama antara skuad Harimau Buta dan ALTY tercetus selepas perlawanan persahabatan skuad negara yang berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Jun lalu.


“Sukan pasti akan menyebabkan kecederaan jika kita tidak bersedia. Sebagai contoh ketika kita mula pergi Tokyo, perlawanan pertama main 10 minit semua pemain kita cedera dan hanya tinggal empat pemain sahaja untuk meneruskan perlawanan lima sebelah kerana ketika itu kami tidak membuat persiapan rapi.

Apabila saya mengenali Natalie Seroux, saya cadangkan alangkah baiknya jika badan korporat seperti hospital ALTY dapat bersama menyumbang sesuatu di mana hospital lain mungkin tidak buat.

Bercakap mengenai penajaan, ia bukan sekadar wang ringgit semata-mata tapia da cara lain kitab oleh bekerjasama seperti pendidikan senaman dan pihak ALTY bermurah hati untuk menawarkan pelbagai khidmat  perubatan kepada pemain-pemain saya,”

katanya.

Tambahnya lagi, selain khidmat perubatan ATLY turut bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal, Viatris Malaysia dalam membekalkan peralatan perubatan seperti ice-sprays, repairil gels, sports tape dan bermacam lagi untuk latihan dan hari perlawanan.

Tambah Sunny lagi, dengan kerjasama ini beliau sebagai jurulatih akan mengetahui dengan lebih baik mengenai kondisi pemainnya samada cergas untuk bermain atau tidak.

Dalam pada itu, Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan ALTY, Nathalie Seroux berkata pihaknya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan skuad Harimau Buta selepas turut sama terlibat dalam perlawanan persahabatan skuad itu sebelum ini.

“Dengan pengalaman saya bersama jurulatih Sunny kita mendapati mereka memang perlukan bantuan. Sebelum ini kita pernah taja dari segi kewangan, tetapi seperti Sunny cakap bukan wang sahaja yang penting tetapi juga dari aspek kesihatan.

Oleh itu kami di ALTY beri tumpuan pada kesihatan pemain yang mana kami telah menghantar pasukan perubatan terdiri daripada jururawat, doktor, fisioterapi hadir ke beberapa latihan mereka bagi memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja sebelum tetapi juga selepas kecederaan.”

Kerjasama ini nyata menjadi tonik tambahan buat anak buah Sunny yang akan terbang ke India pada November ini bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Buta Asia yang merupakan kejohanan kelayakan Piala Dunia Orang Buta 2023.