Janji mahu bangkitkan bola sepak Perlis jika diberi kuasa, cukup-cukuplah jadikan bola sepak ‘gula-gula’ politik

926

Ketika ini, Malaysia sudah memasuki musim politik yang menyaksikan ahli-ahli politik ketika ini bertungkus lumus sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sudah menjadi kebiasaan, calon serta parti politik akan menabur janji untuk bagi memastikan mereka mampu berkuasa di sesuatu kawasan.


Baru-baru ini, timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, salah satu manifesto gabungan tersebut adalah mahu mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis.

Langkah ini dilihat tidak wajar dan sengaja mahu meraih populariti daripada pengundi dengan menggunakan kejatuhan bola sepak Perlis ketika ini sebagai ‘gula-gula’ PRU.

Walaupun di negara ini bola sepak dan politik dilihat sukar untuk dipisahkan, tindakan memancing undi menggunakan sukan tersebut dilihat satu langkah yang ‘murah’.

Sudah banyak contoh di mana bola sepak negeri menjadi rosak dan hancur gara-gara orang politik mengambil  kesempatan untuk kepentingan politik diri.

Sekiranya beliau betul-betul mahu memperbaiki bola sepak Perlis, apa kata beliau pastikan dirinya menang terlebih dahulu tanpa menggunakan bola sepak sebagai manifesto, dan selepas itu barulah cuba membangunkan bola sepak Perlis.

Sudah tentu peminat bola sepak Perlis tidak mahu situasi pisang berbuah dua kali berlaku kepada bola sepak negeri mereka.

Perlis yang digelar Singa Utara merupakan salah satu pasukan yang digeruni pada tahun 2000-an sebelum perlahan-lahan kehilangan taringnya.

Pasukan itu pernah memenangi gelaran Liga Super pada 2005, Piala Malaysia (2004 dan 2006) dan Piala Sumbangsih (2007 dan 2008) sebelum jatuh ke Liga Perdana pada 2012.

Apa yang lebih teruk, mereka pernah terjerumus sehingga ke Liga FAM sebanyak dua kali sebelum terkubur pada tahun 2019 akibat ekoran krisis kewangan.

Menurut laporan, pada tahun 2018, ahli lembaga pengarah pasukan Perlis mengundi Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad sebagai presiden, yang ketika itu dikenali sebagai seorang ahli perniagaan.

Azimal kemudian melakukan perubahan kepada pasukan itu dengan menjenamakan semula pasukan, menempatkan pangkalan latihan ke Kuala Lumpur, dan membawa masuk beberapa nama besar seperti Safee Sali dan Khyril Muhymeen.

Namun pada tahun kemudiannya, pemain Perlis mengadu bahawa gaji mereka tidak dibayar dan tidak lama kemudian Azimal pula meletak jawatan.

Terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan beliau merupakan salah seorang scammer, dan gelaran Datuk miliknya adalah satu penipuan.

Pasukan utama bagi negeri Perlis ketika ini adalah Perlis United FC yang beraksi di Liga M3, yang menamatkan musim ini di tangga kelima kumpulan B.

Diharapkan, Perlis mampu bangkit kembali menjadi salah satu kuasa besar dalam negara seperti yang pernah berlaku kira-kira 20 tahun lalu.