Roslin Hashim yakin Pearly-Thinaah mampu berada di dalam kedudukan Top 5 dunia awal tahun 2023

2,588

Bekas pemain No.1 Dunia, Roslin Hashim yakin pasangan beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan mampu berada dalam kedudukan Top 5 dunia dalam masa terdekat ini.

Roslin berkata demikian selepas pasangan Pearly-Thinaah berjaya muncul juara Terbuka Perancis baru-baru ini selepas menewaskan beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.


“Bagi saya tak mustahil dalam waktu terdekat mungkin awal tahun hadapan mereka dah boleh naik Top 5,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Roslin, prestasi persembahan pasangan beregu negara ini sentiasa meningkat naik dari semasa ke semasa.

“Kalau kita tengok sebelum ini ketika di Terbuka Jepun, Pearly mengalami kecederaan tetapi beliau cepat sembuh. Ini adalah kejohanan pertamanya selepas baik dari kecederaan dan keputusannya sangat luar biasa.

Kalau kita tengok corak permainan mereka ini memang berkelas dunia terutamanya dari segi pertahanan mereka. Dari situ saya lihat ada peningkatan yang cukup ketara. Walaupun mereka adalah pasangan beregu muda tapi corak permainan mereka bertaraf dunia.”

Beliau juga berkata sejak Pearly dan Thinaah diserap sebagai pemain beregu, kedua-dua pemain ini memperlihatkan keserasian yang cukup baik.

Tambahnya lagi, jika pasangan beregu negara terus konsisten tidak mustahil untuk mereka menjadi pasangan beregu paling terbaik negara mengatasi bekas pasangan beregu terhebat negara sebelum ini iaitu Chin Ee Hui-Wong Pei Tty.

Dalam pada itu, Roslin juga turut mengulas lanjut mengenai kontroversi membabitkan jurulatih Indonesia, Eng Hian yang menggelar pasangan negara sebagai ‘hitam’ dan ‘putih’ pada aksi pusingan kedua membabitkan Pearly-Thinaah dan Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya.

“Eng Hian sudah pun membuat permohonan maaf mungkin beliau tidak sengaja. Bagi saya mungkin beliau cuma memberi arahan kepada pemain supaya pemain itu boleh faham apa arahan, tapi apabila netizen mengambil isu ia menjadi satu isu rasis. Ada yang berkata kenapa jurulatih itu tidak sebut nama pemain itu saja.

Saya faham sebagai jurulatih beliau mempunyai masa yang cukup singkat untuk memberi arahan bagi pemainnya faham. Kalau kita sudah pasti isu ini sudah jadi isu perkauman. Ia sudah pun berlaku tapi saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi.”

Sementara itu, Roslin menyedari ramai peminat yang mahukan Datuk Wira Lee Chong Wei untuk menjadi jurulatih perseorangan negara, namun beliau berkata tidak semua pemain walaupun pernah berada di era gemilang mampu galas tanggungjawab sebagai jurulatih.

“Memang sekarang ini ramai yang mengharapkan Datuk Lee Chong Wei menjadi jurulatih berikutan pencapaiannya luar biasanya. Saya bagi contoh Chong Wei, saya rasa kemungkinan beliau sendiri rasa tidak sesuai jadi jurulatih.

Mungkin beliau sendiri rasa ilmu untuk jadi jurulatih berbeza apabila anda bermain. Sebagai pemain lain, sebagai jurulatih lain. Sebagai pemain anda mendapat arahan, manakala jika sebagai jurulatih anda beri arahan, jadi mungkin di situ beliau rasa tak sampai untuk jadi jurulatih.”

Beliau juga berkata Chong Wei mungkin boleh bekerjasama dengan Datuk Misbun Sidek sebagai penasihat dan memberi idea-idea untuk meningkatkan prestasi pemain.