Pembangunan akar umbi jadi rahsia bakat dari Georgia tiba-tiba menyinar, Malaysia harus contohi dari sekarang
Ketika ini, dunia bola sepak sedang terpesona dengan kebangkitan bakat-bakat muda dari Georgia yang menggegar liga-liga utama dunia.
Antara nama yang menjadi sebutan ketika ini adalah pemain sayap SSC Napoli, Khvicha Kvaratskhelia serta penjaga gol Valencia, Giorgi Mamardashvili.
Kebangkitan pemain muda Georgia seperti mereka berdua bukanlah berlaku dalam tempoh sekelip mata kerana ia bermula daripada kesedaran untuk membangunkan akar umbi.
Kelab gergasi tempatan, Dinamo Tbilisi gagal melayakkan diri ke saingan Eropah pada musim 2011/12 buat pertama kalinya dalam sejarah kelab itu, menyebabkan pemiliknya melakukan perubahan terhadap akademinya dengan pelbagai fasiliti yang baik.
Hasil daripada itu, ramai pemain-pemain berbakat Georgia hari ini yang lahir daripada akademi tersebut termasuklah Kvaratskhelia dan Mamardashvili yang masing-masing berusia 21 dan 22.
Ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan akar umbi adalah perkara yang paling penting dalam melahirkan pemain bintang pada masa depan.
Georgia telah pun menyedari perkara itu dan membangunkan infrastuktur yang canggih dan lengkap buat pemain muda.
Walaupun hanya mempunyai populasi kecil kira-kira 3.7 juta, kesedaran dalam meningkatkan tahap bola sepak muda berjaya membuahkan hasil.
Mereka membuktikan bahawa bakat dari negara kecil juga mampu bersinar di peringkat yang tertinggi sekiranya cukup bagus.
Inilah yang perlu dicontohi oleh negara kita kerana perlu diperakui bahawa dari sudut pembangunan, Malaysia masih di belakang.
Ya memang Malaysia mempunyai Akademi Mokhtar Dahari yang merupakan pengeluar kepada ramai pemain muda berbakat, tetapi setelah keluar daripada akademi tersebut, tidak ramai yang mampu menyinar.
Perlu ada kesinambungan sehinggalah pemain-pemain muda ini berjaya melangkah ke alam profesional.
Jika dilihat dari sudut populasi, kita mempunyai kira-kira 10 kali ganda berbanding Georgia, jadi kita sepatutnya boleh menghasilkan lebih banyak bakat yang hebat sekiranya mempunyai program pembangunan yang mantap.
Tidak mustahil bakat besar negara seperti Arif Aiman mampu dieksport ke luar negara dan menjadi bintang di luar.
Beliau juga telah menarik perhatian beberapa pihak luar dengan persembahan mantapnya dalam saingan liga dan juga AFC Champions League.
Boleh dikatakan apa yang dilakukan oleh Johor Darul Ta’’zim (JDT) ketika ini lebih kurang apa yang dilakukan oleh Dinamo Tbilisi.
Mereka kini sudah mula menekankan pembangunan pemain dari peringkat akar umbi, lihat saja kejayaan yang dimenangi oleh skuad muda mereka sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.
Mungkin pada masa hadapan, ramai bakat yang dilahirkan dari akademi tersebut yang akan menggegar benua Asia.