Mungkin peminat Sarawak boleh beralih sokong Kuching City FC pula musim depan kerana ada potensi

1,027

Disebalik kekecewaan peminat dengan prestasi hambar pasukan kesayangan Sarawak United FC dan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai, namun masih ada sinar harapan buat peminat Sarawak apabila sebuah lagi kelab di negeri itu iaitu Kuching City FC terus melakar kejayaan.

Semalam dalam perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia, skuad yang diberi jolokan The Cats itu telah berjaya layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Penang FC dalam aksi yang cukup mendebarkan.


Kejayaan pasukan kendalian Irfan Bakti menewaskan pasukan dari Liga Super itu disaksikan oleh ribuan penyokong di Stadium Negeri sekaligus mengubati kekecewaan mereka terhadap pasukan utama Sarawak United yang tidak dibenarkan beraksi pada saingan Piala Malaysia tahun ini akibat masalah tunggakan gaji.

Bagi mereka yang kurang mengenali pasukan Kuching City ini, pada musim ini mereka beraksi dalam saingan Liga Perdana yang mana kelab kecil ini telah mengejutkan ramai apabila menamatkan saingan liga di tangga ketiga di belakang Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim II.

Ternyata sentuhan ketua jurulatih yang cukup berpengalaman, Irfan Bakti telah berjaya membawa kelab ini ke peringkat lebih tinggi yang mana mereka akan beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.

Dengan nasib pasukan Sarawak United akan ditentukan pada hari ini samada mereka akan dibenarkan beraksi pada musim hadapan atau tidak selepas gagal mendapat Lesen Kebangsaan, rasanya peminat kini boleh beralih memberi sokongan pada Kuching City yang dilihat mempunyai potensi untuk pergi dengan lebih jauh.

Irfan dijangka akan terus diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan itu pada musim hadapan kerana beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam saingan Liga Super kerana pernah membimbing banyak pasukan ternama seperti Terengganu FA, Selangor FA, Felda United FC, Negeri Sembilan FA dan banyak lagi.

Penyerang sensasi dari Monrovia, Abu Kamara juga akan terus bersama kelab itu sehingga musim hadapan dan ini sudah pasti akan menggembirakan peminat kerana Kamara adalah watak utama dalam kejayaan Kuching City sepanjang musim ini.

Tidak dilupakan kepada barisan pemain lain yang telah mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan membuktikan kemampuan mereka walaupun tiada siapa sangka mereka mampu pergi jauh.

Kuching City akan melayan kunjungan Sabah FC pada 5 November ini bagi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia. Mampukah mereka sekali lagi melakukan kejutan? Sama-sama kita tunggu.