JDT tak perlu lepaskan Jordi Amat untuk Piala AFF, persiapan dengan kelab untuk musim depan lebih penting

1,618

Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat melakukan penampilan keduanya bersama kelab dalam kemenangan 2-0 ke atas PJ City FC dalam saingan Piala Malaysia.

Beliau menampilkan persembahan yang baik pada perlawanan itu bagi membantu JDT layak ke pusingan seterusnya dengan mudah.


Ketika ini, namanya dilaporkan menjadi pilihan untuk dimasukkan dalam skuad kebangsaan Indonesia yang akan menghadapi Piala AFF Disember ini.

Penyokong Indonesia sendiri sudah tidak sabar untuk melihat pemain itu menyarung jersi pasukan mereka.

Namun mereka mungkin terpaksa menunggu lama lagi kerana JDT mempunyai hak untuk tidak melepaskan pemain itu kerana ia tidak berlangsung pada kelendar kejohanan antarabangsa FIFA.

JDT juga sebenarnya tidak patut melepaskan pemain itu kerana beliau sememangnya diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan pasukan.

Sehingga ke hari ini, beliau baru bermain sebanyak dua kali untuk JDT, justeru sudah tentu memerlukan masa yang lebih lagi untuk membentuk gandingan yang mantap bersama rakan yang lain.

Tempoh ketika Piala AFF berlangsung itu adalah waktu sesuai buat beliau mempersiapkan diri untuk musim depan memandangkan beliau dijangka menjadi kunci di bahagian pertahanan pasukan musim depan.

Tambahan pula, saingan Liga Super akan menjadi semakin kompetitif dengan pertambahan pasukan musim depan, dan JDT akan mencuba untuk melangkah lebih jauh pada saingan AFC Champions League.

Jika beliau turut serta dalam Piala AFF, beliau mungkin kembali ke JDT dalam keadaan letih dan ia boleh mengganggu sesi pramusim.

Selain itu, beliau juga jelas kekurangan match fitness kerana hanya diturunkan pada dua perlawanan musim ini, jadi tidak sesuai rasanya untuk mewakili Indonesia pada kejohanan tersebut.

Indonesia juga sudah memiliki ramai pemain berbakat di bahagian tersebut, termasuk Elkan Baggot yang baru-baru ini mengatakan beliau boleh menyertai pasukan Indonesia untuk Piala AFF nanti.

Pemain-pemain lain juga sudah membentuk persefahaman antara satu sama lain, jadi lebih baik mereka mengekalkan pemain sedia ada untuk kejohanan itu nanti.

Jordi Amat juga masih belum melengkapkan proses mengangkat sumpah untuk memenuhi syarat penuh penukaran warganegara Indonesia walaupun proses dokumentasinya telah lengkap.

Justeru, terdapat kemungkinan beliau masih lagi tidak layak diturunkan untuk Indonesia ketika kejohanan itu berlangsung.