Tiga calon disebut layak ganti Iwan Bule dalam PSSI untuk bawa perubahan kepada bola sepak Indonesia

255

Pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) semalam menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengadakan Kongress Luar Biasa (KLB) dengan agenda untuk pemilihan presiden, naib presiden dan ahli majlis eksekutif pada 18 Mac 2023.

Ia hasil daripada satu mesyuarat yang dilakukan oleh 12 ahli jawatankuasa eksekutif PSSI pada 28 Oktober lalu yang mempersetujui perkara itu.


Kedudukan presiden yang sekarang, Mochammad Iriawan atau Iwan Bule berada dalam tekanan selepas tragedi Stadium Kanjuruhan.

Ia selepas beliau ditekan oleh sebilangan pihak serta penyokong bola sepak Indonesia untuk berundur gara-gara insiden itu.

Terdapat tiga nama yang dikatakan sesuai menggantikan Iwan Bule untuk menerajui PSSI iaitu Erick Thohir, Hary Tanoesoedibjo dan Achsanul Qosasi.

Antara nama-nama tersebut, ramai yang begitu mempercayai kewibawaan Erick kerana pengalaman luasnya dalam bola sepak dunia.

Erick yang merupakan seorang ahli perniagaan dan ahli politik di Indonesia sememangnya mempunyai penglibatan yang meluas bukan sahaja dalam bola sepak tetapi sukan lain.

Dalam arena bola sepak, beliau pernah menjadi pemilik majoriti gergasi Itali, Inter Milan melalui syarikatnya iaitu International Sports Capital HK Limited dan menjadi pengerusi ahli lembaga pengarah kelab itu.

Beliau juga sebelum ini pernah menjadi pemilik kelab Amerika Syarikat, D.C. United sehingga 2018.

Ketika ini, beliau merupakan pemilik bersama kelab League One, Oxford United FC dan juga sebuah kelab tempatan, Persis Solo.

Hubungan baiknya dengan presiden FIFA, Gianni Infantino juga menjadi salah satu sebab beliau merupakan calon yang digemari oleh ramai.

Di atas kertas, beliau merupakan calon yang paling polular dan dipercayai oleh ramai pihak.

Calon kedua iaitu Hary juga tidak kurang hebatnya dan dianggap individu yang amat berpengalaman dalam menaikkan futsal Indonesia.

Beliau yang merupakan presiden Persekutuan Futsal Indonesia berjaya membawa pasukan futsal Indonesia ke satu tahap yang lebih tinggi, terutama dengan kejayaan layak ke suku akhir Piala Futsal Asia buat kali pertama dalam sejarah baru-baru ini.

Beliau juga mempunyai pengaruh dalam PSSI dan tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan orang-orang di dalamnya.

Seorang lagi calon, Achsanul juga sudah tidak asing dalam bola sepak Indonesia dan merupakan presiden Madura United.

Madura United ketika ini cemerlang sebagai pendahulu bersama Liga Indonesia bersama Borneo Samarinda.

Sekiranya tempoh Iwan Bule sebagai presiden PSSI tamat pada pemilihan akan datang, bola sepak Indonesia bakal melalui satu perubahan yang menyeluruh.

Langkah Iwan Bule untuk melaksanakan Kongres Luar Biasa itu juga dilihat satu tindakan ‘gentleman‘ sebagai salah satu tanggungjawab terhadap tragedi Stadium Kanjuruhan.

Penggantinya juga mempunyai tugas yang berat untuk mengulangi kecemerlangan Iwan Bule mengetuai badan itu sejak 2019.