Pemain dan pegawai Melaka United, Sarawak United boleh bawa kes tunggakan gaji ke mahkamah sivil

574

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menegaskan bahawa para pemain dan pegawai Melaka United FC dan Sarawak United FC yang terpalit dengan masalah tunggakan gaji boleh mengheret pasukan itu ke muka pengadilan.

Menurutnya, walaupun kedua-dua pasukan sudah tidak beraksi dalam Liga Super, para pemain dan pegawai boleh menggunakan saluran yang ada untuk menuntut gaji mereka.


“Ini adalah kes penting yang akan diguna pakai tentang bagaimana kelab bola sepak dinilai berkaitan tuntutan, terutama bagi pasukan yang mungkin tutup atau tidak.

Tanggungjawab adalah tertakluk kepada ahli lembaga pengarah dan pemegang saham kelab,”

katanya.

Menurutnya pemain dan pegawai yang terlibat perlu melalui proses Proses Kehakiman Bola Sepak (Football Judicial Process), di mana pemain boleh melaporkan kepada National Dispute Resolution Chambers (NDRC) manakala jurulatih pula perlu melalui Jawatankuasa Status Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, selepas proses tersebut, terdapat proses rayuan dan proses disiplin yang perlu dituruti oleh pihak kelab.

“Jika kelab masih tak menurut perintah, pemain dan pegawai pasukan ada peluang untuk membawa kes ke mahkamah sivil.

Jadi perkara ini membolehkan para pemain dan pegawai untuk menuntut sendiri daripada pemilik kelab masing-masing.”

Musim ini, Melaka United dan Sarawak United terpalit dengan masalah tunggakan gaji sehinggakan pihak MFL terpaksa masuk campur.

Lesen Kebangsaan musim 2023 untuk kedua-dua pasukan juga tidak diluluskan oleh pihak First Instance Body (FIB), bermakna mereka tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.