Ifwat Akmal kekal sarung jersi Sang Kenari untuk musim 2023

2,460

Penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim memberitahu bahawa beliau masih mempunyai kontrak bersama Kedah Darul Aman FC (KDA) sehingga tahun depan sekaligus akan terus kekal menyarung jersi Sang Kenari untuk musim depan.

Kenyataan Ifwat itu sekaligus menjawab persoalan daripada peminat yang tertanya-tanya destinasi penjaga gol berusia 26 tahun itu selepas perjalanan KDA dalam saingan Liga Malaysia sudah berakhir untuk musim 2022 selepas mereka tersingkir dari kejohanan Piala Malaysia.


“Saya masih ada kontrak setahun lagi bersama KDA,”

katanya ringkas kepada Harimau Malaya.

Ifwat yang sering dibelenggu masalah kecederaan sebelum ini telah mempamerkan aksi yang cukup mantap pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Keputusan itu bagaimanapun menyebabkan pasukan Hijau Kuning terpaksa akur apabila tewas dengan agregat 2-1.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ifwat telah berjaya mematahkan banyak serangan berbahaya daripada pemain Negeri Sembilan.

“Tiada rezeki untuk kami pada malam ini. Kami perlukan satu gol untuk menyamakan agregat tapi gagal kerana tidak gunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol dan akibatnya kami seri tanpa jaringan.”

Beliau pada masa sama juga berkata perlawanan malam tadi ramai pemain muda yang diturunkan bagi memberi peluang dan pengalaman sebagai persiapan kepada mereka untuk menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim depan.

Dalam pada itu, Ifwat turut mengakui berasa terkesan dengan pengunduran jurulatih penjaga gol berpengalaman Khairul Azman yang melepaskan jawatannya selepas ketiadaan Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih.

“Ada terkesan juga sikit, tapi kami tak boleh nak halang jurulatih. Apa yang kami boleh buat adalah teruskan perjuangan.”