Ifedayo Olusegun pasti menyesal tinggalkan Selangor, ramai bintang Melaka United, Sarawak United dijangka ‘cabut lari’

2,035

Nasib dua kelab, Melaka United FC dan Sarawak United FC musim depan akhirnya diputuskan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) semalam apabila kedua-dua pasukan itu sah tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super musim depan selepas rayuan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan ditolak.

Sudah tentu ia memberi satu tamparan hebat buat bintang-bintang yang berada di kedua-dua pasukan tersebut, terutama penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun yang berpindah dari Selangor FC.


Keputusannya untuk meninggalkan Selangor dan menyertai Melaka United mengejutkan ramai pihak dan kini beliau kemungkinan besar sedang menyesal selepas pasukannya tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Namun, dengan reputasi yang dimilikinya, sudah tentu mudah buat beliau mendapatkan kelab baru dengan segera.

Kepulangan semula ke Selangor juga mungkin boleh menjadi kenyataan kerana impak yang dibawa penyerang utama ketika ini, Herlison Caion tidak sehebat beliau.

Lagipun, beliau tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri kembali bersama pasukan Selangor sekiranya membuat kemunculan semula bersama pasukan itu, dan ia boleh menjadi satu situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.

Tetapi segala-galanya bergantung kepada pengurusan kelab sama ada sudah ‘memaafkan’ pemergian beliau sebelum ini dan juga ketua jurulatih baru, Tan Cheng Hoe sama ada mahukan pemain berusia 31 tahun itu atau tidak.

Bukan sahaja pemain itu, ramai lagi bintang dari Melaka United dan Sarawak United yang pastinya sedang berkira-kira untuk berpindah ke kelab lain.

Antara pemain Melaka United yang dilihat bakal menjadi buruan kelab-kelab lain adalah Sony Norde, Emmanuel Oti dan Bryan See Tian Keat.

Bagi pemain Sarawak United pula, pemain-pemain seperti Francis Kone, Uche Agba, Boris Kok dan Raja Imran Shah dilihat bakal menjadi rebutan kelab lain.

Mereka sudah tentunya tidak mahu bermain di Liga M3 atau ‘liga bawahan’ lain dan mencari peluang untuk ke pasukan yang bermain di Liga Super.

Malah Raja Imran juga dilaporkan sudah menarik perhatian pengendali Perak FC, Lim Teong Kim untuk membawanya ke utara tanah air.

Dengan perkembangan Sarawak United, mungkin juga Perak boleh turut menyambar beberapa orang rakan Raja Imran seperti pemain import untuk musim depan.

Bukan sahaja Perak, Kelantan FC juga mungkin dilihat kelab yang sesuai untuk mengambil pemain-pemain daripada Melaka United dan Sarawak United.

Mereka kini sedang melalui proses transformasi untuk musim depan dengan jawatan ketua jurulatih sedang diputuskan, justeru boleh memanfaatkan peluang ini untuk mengambil pemain-pemain seperti Bryan See atau duo Sarawak United iaitu Francis Kone dan Uche Agba.

Kelab-kelab gergasi lain seperti Selangor dan Kedah Darul Aman juga boleh turut serta dalam ‘perlumbaan’ untuk menandatangani bintang-bintang Melaka United dan Sarawak United yang ‘tersisih’ daripada saingan Liga Super musim depan.

Apa yang pasti, Melaka United dan Sarawak United akan kehilangan ramai bintang-bintang dan mereka terpaksa membina semula pasukan dari bawah selepas ini.

Diharapkan ini menjadi pengajaran buat kedua-dua pasukan itu dan juga pasukan lain dalam memastikan kelab diuruskan dengan baik.