Enggan masuk campur dengan permasalahan Melaka United FC, MUSA sedang bentuk skuad ampuh untuk dominasi Liga M3 musim depan
Melaka United FC dan masalah gaji berpisah tiada! Permasalahan yang berlaku pada pasukan itu sudah mencapai kemuncak apabila rayuan mereka untuk terus beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan telah ditolak.
Terdahulu Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan dua pasukan iaitu Melaka United dan Sarawak United FC tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super 2023 kerana tidak mendapat Lesen Kebangsaan.
Keputusan itu dibuat oleh First Instance Body (FIB) yang mana kedua-dua pasukan diberi peluang untuk membuat rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, namun Jawatankuasa Rayuan mengekalkan keputusan itu apabila kedua-dua pasukan masih gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka.
Keputusan itu mendapat pelbagai reaksi termasuk dari Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang berkata mereka tidak terkejut dengan keputusan tersebut dan menegaskan mereka tiada kaitan dengan masalah yang berlaku dalam kelab itu.
Presiden MUSA, Datuk Nur Azmi Ahmad dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar telah menyatakan masalah yang berlaku adalah kerana kegagalan pengurusan untuk menguruskan perbelanjaan apabila berbelanja lebih RM20 juta.
MUSA juga mengambil pendekatan untuk tidak menghulurkan bantuan sebaliknya berkata segala permasalahan kelab itu adalah di bawah tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Seri Justin Lim.
Nur Azmi juga mendedahkan rancangan MUSA yang sedang membentuk sebuah pasukan baru untuk bersaing dalam saingan Liga M3 musim depan dengan bajet sekitar RM6 hingga RM7 juta.
Bagaimanapun penyertaan pasukan dalam saingan Liga M3 masih belum sah kerana mereka perlu menghantar permohonan kepada Amateur Football League (AFL) terlebih dahulu.
Jika mereka sudah hantar permohonan ia masih belum menjamin tempat mereka dalam saingan Liga M3 pada musim hadapan kerana ketika ini tujuh pasukan teratas dari dua kumpulan Liga M3 musim ini secara automatik akan beraksi dalam saingan musim depan yang akan menggunakan format seperti Liga Super dengan 14 pasukan.
Sebelum pasukan Melaka United diswastakan sepenuhnya, pasukan yang ketika itu dibawah pengurusan MUSA juga berdepan masalah gaji sebelum Justin Lim menerusi KenTeam Sdn Bhd menjadi pemilik baru Melaka United dan menyelesaikan tunggakan gaji.
Dengan situasi yang ketika ini rasanya mana-mana pihak tidak perlu menuding jari sebaliknya mungkin boleh beri bantuan dari segi mencari solusi untuk menyelesaikan tunggakan gaji kerana pemain dan pegawai pasukan yang sedang merana ketika ini untuk meneruskan kehidupan mereka apabila tidak dibayar gaji.
Pihak yang berkaitan perlu memastikan Melaka United tidak terkubur begitu sahaja dan lenyap dari saingan Liga Malaysia. Memang tidak dinafikan MUSA tiada lagi kaitan dengan permasalahan yang berlaku tetapi mereka pernah berada dalam pasukan itu, mungkin boleh hulurkan bantuan untuk menaikkan semula bola sepak Melaka United.
Setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya, oleh itu ramai peminat yang berharap ada sinar harapan buat Melaka United pada masa akan datang.