Ingat pesanan Zamsaham, penyokong Kelantan FC harus jaga adab dan elak timbulkan provokasi terhadap penyokong JDT

1,124

Aksi Piala Malaysia akan diteruskan pada Sabtu ini dengan dua perlawanan suku akhir pertama antara Kuching City FC dan Sabah FC serta Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung.

Perlawanan yang bakal menjadi tumpuan sudah tentulah melibatkan Kelantan dan JDT kerana kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah tersendiri.


Ketika zaman kegemilangan Kelantan kira-kira 10 tahun lalu, perlawanan menentang JDT akan menjadi panas sama ada di dalam atau di luar padang.

Menjelang pertembungan Sabtu ini, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham nampaknya sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan menasihati penyokong supaya menjaga perilaku mereka.

Beliau berpesan kepada para penyokong supaya tidak menimbulkan provokasi serta bersikap lebih bertamadun dan beradab.

Pesanannya itu adalah wajar memandangkan musim ini berlaku beberapa insiden melibatkan penyokong Kelantan dalam saingan Liga Perdana.

Ketika perlawanan menentang JDT II di Stadium Sultan Muhammad IV, terdapat penyokong Kelantan yang membaling botol ke dalam padang sehingga ada yang ditahan oleh pihak berkuasa.

Pada perlawanan menentang Perak FC pula, kedua-dua penyokong bergaduh gara-gara provokasi dari pihak tertentu sehingga menyebabkan cermin bas pasukan Perak pecah dibaling batu.

Justeru, penyokong yang hadir ke stadium pada Sabtu ini haruslah menjaga emosi dan tingkah laku mereka supaya tidak memalukan nama kelab.

Tambahan pula, Zamsaham dan juga ketua jurulatih kelab, Rezal Zambery Yahya kedua-duanya berasal dari Johor, jadi sentimen kenegerian haruslah ditolak tepi.

Berdasarkan jualan tiket perlawanan tersebut, sambutan yang diberikan oleh penyokong Kelantan dilihat begitu meriah dengan ramai yang berpusu-pusu beratur bagi mendapatkan tiket di stadium.

Pihak pengurusan haruslah bersedia dengan kawalan keselamatan yang maksimum bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

Penyokong pula harus bekerjasama antara satu sama lain dalam menghalang sebarang provokasi yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu.

Apa sahaja keputusan pada perlawanan tersebut, bola sepak hanyalah sekadar satu hiburan dan tiada sesiapa yang harus cedera atau meninggal dunia disebabkan bola sepak.