Mardi, Sanrawat ada potensi disambar pasukan lain jika Kedah Darul Aman FC tekad lepaskan

783

Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal melepaskan kesemua pemain import yang beraksi bersama mereka pada musim ini.

Perkara ini disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut, Khamal Idris Ali yang turut menyatakan bahawa pemain tempatan yang sering menghadapi kecederaan juga berpotensi untuk tidak disambung kontrak pada musim hadapan.


Hal ini susulan daripada kempen Liga Malaysia yang cukup mengecewakan buat pasukan Kedah pada musim ini.

Namun, ada dua pemain yang perlu dipertimbangkan semula sebelum membuat keputusan untuk melepaskan atau tidak menawarkan lanjutan kontrak.

Pemain tersebut adalah dua import pasukan, Mahmod Al Mardi serta Sanrawat Dechmitr yang belum sampai semusim bersama pasukan tetapi berjaya menunjukkan prestasi menyakinkan.

Mardi telah mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan buat Kedah meskipun menyertai pasukan tersebut pada pertengahan saingan liga menerusi jendela perpindahan kedua yang dibuka.

Tidak boleh dinafikan, kehadiran Mardi yang banyak diletakkan di bahagian sayap pasukan tampak berjaya mempertajamkan serangan Kedah selepas mereka kehilangan pemain pinjaman, Syafiq Ahmad yang kembali ke pangkuan Johor Darul Ta’zim FC sehingga ke penghujung musim.

Mardi menjadi pemain yang mengumpul jumlah bantuan jaringan terbanyak pasukan menerusi tujuh ‘assist’ yang direkodkan sepanjang beraksi bersama Kedah.

Sepanjang 12 penampilan Liga Super, Mardi turut berjaya mengumpul lima jaringan untuk meletakkan beliau di kedudukan kedua selaku penjaring terbanyak pasukan di belakang penyerang utama, Ronald Ngah Wanja dengan sembilan gol.

Statistik 63% penglibatan gol di dalam Liga Super menunjukkan kebolehan Mardi untuk cemerlang di bahagian serangan dan ia akan menjadi satu kehilangan jika Kedah benar-benar ingin melepaskan beliau.

Pemain berusia 29 tahun ini juga telah dipanggil untuk bersama-sama pasukan kebangsaannya, Jordan untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan dalam tempoh terdekat.

Selain Mardi, seorang lagi import yang berjaya mencuri tumpuan adalah Sanrawat yang dibawa masuk daripada Bangkok United secara pinjaman.

Sanrawat dilihat cukup tenang menjalankan tugasnya di bahagian tengah serta boleh bermain secara bertahan dan menyerang.

Beliau turut dibawa masuk oleh pasukan Kedah pada jendela perpindahan kedua yang dibuka pada Julai lalu.

Sepanjang 12 perlawanan berbaki, beliau berjaya beraksi untuk 90 minit bagi sembilan perlawanan daripadanya.

Satu statistik yang jelas menunjukkan betapa besar dan pentingnya peranan Sanrawat di dalam merencana permainan pasukan Kedah.

Pemain yang telah mengumpulkan 29 kaps bersama pasukan Thailand tersebut berjaya untuk sekali lagi menarik minat ketua jurulatih Gajah Perang, Alexandre Polking bagi menyenaraikan beliau di antara 75 pemain awal yang bakal dipanggil menyertai kem latihan untuk Piala AFF.

Meskipun senarai akhir 23 pemain masih belum dimuktamadkan, pencapaian tersenarai kem latihan awal menunjukkan betapa berkualitinya permainan yang ditunjukkan oleh Sanrawat.  

Dengan statistik kedua-dua pemain ini, tidak dinafikan mereka akan menjadi ‘pisang goreng panas’ sekiranya benar-benar dilepaskan oleh pasukan Kedah.

Kemampuan pemain import ini semestinya akan ditagih oleh pasukan-pasukan Liga M yang ingin memberikan saingan dengan lebih kuat musim depan.

Tambahan pula, ia akan memberi kelebihan kepada pasukan yang memiliki mereka kerana hanya akan menggunakan kuota pemain Asia untuk Mardi dan ASEAN bagi Sanrawat.

Lebih-lebih lagi, harga pemain import dari rantau ini boleh dikatakan jauh lebih murah berbanding daripada pemain dari benua Amerika Selatan, Eropah, Afrika dan sebagainya.

Mari sama-sama kita nantikan rombakan besar yang bakal dilakukan oleh skuad Hijau Kuning bagi memperkuatkan kembali pasukan mereka musim depan!