Zamsaham bukan sekadar pemilik biasa, beliau berjaya ubah mentaliti serta disiplin pasukan Kelantan – Azli Mahmood

419

Pembantu jurulatih Kelantan FC, Azli Mahmood memuji perubahan yang telah dibawa pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham ke dalam pasukan itu sejak mengambil alih dua tahun lalu.

Menurutnya, Zamsaham telah berjaya mengubah mentaliti pemain dan menerapkan tahap disiplin yang tinggi ke dalam pasukan tetapi dalam masa yang sama boleh bertolak ansur.


“Saya terlibat dengan pasukan ini sebelum Zamsaham ambil alih lagi dan saya dapat lihat banyak perubahan yang beliau bawa sehinggalah sekarang.

Apa yang saya lihat beliau ni lain sikit, komitmennya terhadap pasukan amat tinggi dan beliau sentiasa berikan yang terbaik untuk kami semua,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya, beliau serta pegawai pasukan yang lain serta para pemain banyak belajar daripada sikap beliau dan budaya yang beliau bawa ke dalam pasukan.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Zamsaham kerana menghadiahkan kepadanya sebidang tanah lot baru-baru ini sebagai hadiah kerana jasanya terhadap pasukan.

Beliau menganggap bahawa ia adalah pemberian terbesar yang pernah diterimanya sejak berkecimpung dalam bola sepak.

Katanya, hadiah tersebut menjadi motivasi tambahan untuknya bekerja dengan lebih baik lagi kepada Zamsaham dan pasukan Kelantan.

Azli mengakui bahawa kesungguhan yang ditunjukkan oleh Zamsaham untuk memajukan Kelantan kadang-kala memberi tekanan buatnya dan para pemain untuk memberikan yang terbaik, tetapi menganggap ia sebagai satu cabaran.

“Kita lihat walaupun pasukan kita tiada nama besar tetapi musim ini kita berjaya menamatkan saingan di tangga kedua liga dan layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Kita akan berusaha sebaik mungkin dalam Piala Malaysia ini dan selebihnya kita bertawakkal.”

Kelantan akan turun menentang Johor Darul Ta’zim pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia esok di Stadium Sultan Muhammad IV.