Setiap perlawanan kami cipta banyak peluang tapi gagal jaringkan gol – Yazan Al-Arab

345

Pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab mengakui barisan serangan mereka tumpul apabila gagal menjaringkan gol walaupun mencipta banyak peluang.

Menurut Yazan, beliau dan rakan sepasukannya kini sedang memperbaiki segala kelemahan dan akan mempertajamkan serangan mereka apabila bertemu Negeri Sembilan FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia Ahad ini.


“Setiap perlawanan kami cipta banyak peluang tapi gagal jaringkan banyak gol. Saya harap pada perlawanan menentang Negeri Sembilan nanti kami dapat menjaringkan gol untuk memperoleh kemenangan supaya dapat layak ke separuh akhir,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain berasal dari Jordan itu mengakui Negeri Sembilan adalah sebuah pasukan yang berkualiti, namun pasukan Gergasi Merah juga adalah salah sebuah pasukan besar di Malaysia.

Oleh itu, beliau dan rakan sepasukan akan memastikan mereka memberikan aksi yang terbaik supaya dapat mara ke separuh akhir.

Pada pertembungan aksi Liga Super sebelum ini, Selangor yang ketika itu dibimbing oleh Michael Feichtenbeiner tewas 3-2 di tangan Negeri Sembilan walaupun pada mulanya mendahului pihak lawan dua gol.

“Ini adalah bola sepak, anda perlu fokus sepanjang 90 minit tempoh perlawanan dan jika gagal berbuat demikian pasti anda akan kalah.

Oleh itu, untuk perlawanan nanti kami akan beri fokus sepenuhnya untuk mendapatkan keputusan positif.”

Selangor akan melayan kunjungan Negeri Sembilan 6 November ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBSJ).

Sejak Tan Cheng Hoe mengambil alih pasukan itu September lalu, Selangor masih lagi belum pernah tewas dan mereka bertekad mahu meneruskan rentak kecemerlangan ini di kempen Piala Malaysia.