Marc Vales beri bayangan mungkin akan kekal di Liga Malaysia pada musim depan

336

Pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA), Marc Vales memberi bayangan bahawa beliau berkemungkinan akan kekal dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan walaupun kontraknya bersama pasukannya kini akan tamat hujung November ini.

Menurut Vales, beliau kini sedang berhubung dengan beberapa kelab tempatan dan juga luar negara.


“Sehingga kini pihak pengurusan KDA masih belum mengadakan sebarang perbincangan dengan saya, jadi memandangkan kontrak saya hampir tamat saya dibenarkan untuk mencari pasukan baru untuk musim depan.

Ketika ini saya sudah pun berhubung dengan beberapa kelab dalam dan luar negara. Saya ada keluarga jadi saya tidak mahu ambil pendekatan tunggu sehingga habis kontrak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai kelab mana yang sedang berhubung dengannya kerana masih di peringkat awal.

Dalam pada itu, pemain kebangsaan Andorra ini juga mengakui bahawa musim ini bukan musim terbaik buat dirinya sebagai seorang pemain bola profesional apabila bergelut dengan pelbagai masalah sejak awal menyertai skuad Sang Kenari termasuk dibelenggu kecederaan.

“Sejak saya datang semuanya seperti tidak kena apabila terpaksa berdepan pelbagai cabaran seperti dijangkiti COVID-19 datang ke Malaysia dan terpaksa menjalani tempoh kuarantin yang cukup lama sebelum dan setelah tiba di Malaysia.

Apabila tempoh kuarantin saya tamat, saya terus menyertai latihan bersama pasukan dengan cepat tanpa melakukan sesi pengenalan dan ini perkara ini bukanlah terbaik untuk pasukan. Anda boleh lihat CV dan statistik saya yang mana belum pernah saya mengalami banyak kecederaan. Oleh sebab itu perasaan saya negative kerana saya harapkan musim yang baik tetapi sebaliknya berlaku.”

Tambahnya lagi, apa yang berlaku sepanjang musim ini membuatkannya berasa sedih kerana belum pernah lagi beliau meninggalkan pasukan dalam situasi seperti yang berlaku ketika ini bersama KDA.

Pemain berusia 32 tahun ini juga menyedari ada segelintir peminat yang berpuas hati dengan prestasinya dan ada juga yang tidak berpuas hati dengannya, namun sebagai pemain bola sepak profesional beliau perlu menerimanya.

Disebalik dibelenggu masalah kecederaan yang panjang, Vales telah membuat sebanyak 15 penampilan dan menjaringkan dua gol untuk skuad Hijau Kuning.