Hilang kaki kiri, Hashim Mustapha masih mahu aktif dalam bola sepak, azam lahirkan penyerang berbisa untuk negara

1,326

Legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha tekad bangkit daripada kesakitan yang dialaminya ketika ini untuk terus mencurah bakti dalam bola sepak.

Beliau berkata, walaupun kaki kirinya telah dipotong, beliau masih mahu mengerah kudrat membangunkan bola sepak tempatan.


“Saya masih lagi mahu kembali ke padang, saya nak teruskan tugas saya untuk bangunkan pemain pelapis, tak ramai yang minat latih pemain pelapis, semua nak duduk atas terus.

Saya pun pernah cakap dengan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk bantu curahkan ilmu untuk lahirkan penyerang berkualiti kerana kadang-kadang geram juga tengok Malaysia main susah nak jaringkan gol,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kaki kiri Hashim terpaksa dipotong selepas mengalami jangkitan kuman selepas terlibat dalam kemalangan.

Penjaring terbanyak Divisyen 1 sebanyak dua kali berturut-turut itu berkata, walaupun pada zamannya pemain import turut dibenarkan, beliau tetap berjaya bersaing sehingga menjadi penjaring terbanyak.

“Tetapi ketika zaman saya hanya tiga pemain import yang dibenarkan jadi penyerang tempatan ada peluang untuk bergandingan dengan pemain import.

Saya sendiri pun memang letakkan dalam fikiran untuk jaringkan gol dalam setiap perlawanan tidak kiralah sama ada pasukan menang atau kalah.”

Dalam pada itu, Hashim mengakui bahawa beliau berasa amat sedih pada mulanya ketika kakinya terpaksa dipotong.

Katanya, berkat sokongan yang diberikan oleh isteri, keluarga dan rakan-rakan seperjuangannya, semangatnya kini semakin bertambah dan sudah tidak sabar untuk kembali ke padang.

Dalam pada itu, isterinya, Zaheran Hussin bersyukur kerana suaminya mendapat semula kekuatan selepas kakinya dipotong.

“Apabila berbincang dengan beliau dan beliau pun redha sahaja, saya ikut sahaja apa keputusan beliau dan nasihat doktor.

Dalam seminggu dua memang beliau amat sedih tetapi Alhamdulillah saya lihat beliau semakin bersemangat dan sudah tidak sabar untuk pakai kaki palsu dan kembali ke padang.”

Katanya, beliau terus menyokong keinginan suaminya untuk terus terlibat dalam bola sepak memandangkan sukan itu sudah sebati dengan jiwanya.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang datang memberikan sokongan moral kepadanya walaupun ia tidak mudah.