Perbezaan kualiti pemain Kelantan, JDT jadi pemisah antara kedua-dua pasukan – Rezal Zambery Yahya

499

Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mengakui perbezaan kualiti antara pemainnya dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pemisah pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.

Menurutnya, pasukannya melakukan beberapa kesilapan mudah yang membuatkan mereka melepaskan gol yang tidak patut mereka lepaskan.


“Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan ini tetapi bagi saya kita boleh nampak kualiti pemain JDT dan kita sudah cuba beri saingan dengan pemain-pemain yang kita ada, mereka sudah berikan yang terbaik.

Para pemain juga terlalu gopoh untuk lakukan serangan dan membuat keputusan yang tidak tepat, apabila kita hilang bola ini membolehkan JDT menguasai permainan,”

katanya.

Kelantan tewas 3-0 kepada JDT menerusi jaringan Bergson da Silva, Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa kecederaan awal yang dialami Mohamad Fazrul Amir memberi kesan kepada percangannya dalam perlawanan tersebut.

Menurutnya, beliau terpaksa memasukkan pemain untuk menguatkan bahagian pertahanan supaya tidak bolos lebih banyak gol.

Dalam pada itu, beliau menganggap bahawa kehadiran lebih 20,000 penyokong membanjiri stadium adalah satu perkembangan yang baik buat bola sepak negeri itu.

“Ini adalah aura yang kita harapkan kembali semula ke Kota Bharu sejak sekian lama.

Kita memang perlukan sokongan mereka untuk tahun akan datang, kehadiran penyokong menjadikan bola sepak itu lebih menarik.”

Sementara itu, beliau berpendapat mentaliti anak jati sudah tidak relevan lagi dalam bola sepak moden ini.

Beliau memberi contoh dirinya yang merupakan anak Johor tetapi tetap bersikap profesional mengendalikan pasukan Kelantan.

Mengenai perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim minggu depan, beliau mengharapkan anak buahnya terus kekal fokus.

Walaupun sukar, beliau mengharapkan anak buahnya mampu menunjukkan permainan yang baik pada perlawanan itu.