Azurin Mazlan dilamar kelab Misaka United FC
Penjaga gol skuad bola sepak wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan telah dilamar oleh sebuah kelab bola sepak yang berpengkalan di India iaitu Misaka United FC.
Berita gembira itu telah dimuat naik oleh Azurin di media sosial Instagram miliknya dengan memuat naik foto berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kelab Misaka United FC turut teruja dengan kedatangan Azurin di sana apabila mereka turut memuat naik foto tiket penerbangan pemain itu di laman sosial Instagram rasmi kelab itu dengan ucapan ‘Selamat Datang’.
Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia (PFAM), Izham Ismail turut menemui Azurin di sana bagi memberi sokongan selain memberi kata-kata semangat sebelum dia berlepas ke India.
Difahamkan Azurin menerima tawaran untuk bersaing di Liga Amatur di India kerana mahu mengejar cita-citanya menimba pengalaman antarabangsa.
Pemain berusia 21 tahun ini merupakan salah seorang penjaga gol utama negara sejak beberapa tahun lalu dan pernah bermain untuk pasukan kebangsaan di beberapa kejohanan besar seperti Sukan SEA, Piala AFF dan beberapa lagi.
Azurin juga pernah dinobat sebagai Pemain Wanita Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun 2015.