FAM dalam proses penelitian untuk gunakan VAR di Piala FA dan Piala Malaysia tahun depan

176

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneliti semula penggunaan Sistem Bantuan Pengadil (VAR) di dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia seawal musim depan

Hal ini dinyatakan oleh TImbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang turut hadir pada majlis sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Keenam bagi Penggal 2021-25 yang telah diadakan di Wisma FAM.


“Dimaklumkan bahawa FAM kini dalam proses penelitian dan perbincangan bagi menggunakan VAR dalam kempen Piala FA dan Piala Malaysia bagi saingan 2023.

Buat sementara ini, kita membincangkan untuk menggunakan VAR untuk dua kejohanan ini sahaja dan bukan untuk liga lagi,”

katanya kepada media.

Bagi memastikan kelancaran penggunaan VAR, FAM juga sedang giat mempersiapkan pelan dalam melatih pengadil-pengadil di Malaysia untuk mahir menggunakan sistem tersebut.

Menurut seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram, pengadil yang dilantik akan dihantar menghadiri beberapa kursus latihan intensif bagi membiasakan diri untuk mengendalikan sebuah perlawanan dengan bantuan teknologi.

 “Untuk latihan pengadil, mereka perlu melalui kurus latihan VAR yang berkemungkinan selama enam hingga sembilan bulan.

Kami juga telah menghantar permohonan ke FIFA bagi mendapatkan pelatih serta bekerjasama baik dengan AFC, kita akan melihat semula perkembangan dari sana.”

Inisiatif ini diharap menjadi solusi terbaik bagi meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) yang sering mendapat kritikan sejak sekian lama.

Penggunaan teknologi ini akan membolehkan Malaysia bergerak seiring dengan negara jiran yang lain seperti Thailand yang telah menggunakan VAR untuk saingan liga mereka.

Sedang menghampiri adalah negara Vietnam dan Singapura yang semakin giat menyelesaikan kesemua elemen yang diperlukan bagi mereka menggunakan sistem bantuan tersebut dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Sivasundaram turut memberi kepastian bahawa kesemua dakwaan yang tular sejak kebelakangan ini berkenaan bayaran pengadil adalah tidak benar.

Setakat ini, pihak FAM tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkenaan isu tersebut.

“Tidak dapat aduan, kalau dapat aduan saya akan telefon.

Semua bayaran sudah diselesaikan dengan pihak persatuan bola sepak negeri.”