Pasukan B17 negara akan jalani latihan intensif di Qatar menjelang Piala Asia B17 2023

296

Susulan kejayaan pasukan B17 negara melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia B17 tahun hadapan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang merangka sebuah latihan intensif dalam masa terdekat.

Hal ini bagi membolehkan kesemua pemain di bawah bimbingan ketua jurulatih, Osmera Omaro untuk lebih bersedia tatkala mereka bakal menghadapi saingan yang lebih mencabar selepas ini.


Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Keenam bagi Penggal 2021-25 yang berlangsung pada 7 November.

“Pasukan ini kita merancang untuk adakan latihan intensif kerana kita lihat pasukan ini telah mencapai keputusan yang membanggakan.

Satu latihan di Qatar sedang dimuktamadkan selama lebih kurang hampir sebulan tetapi masih dalam perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Qatar,”

katanya kepada media.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman turut memberi jaminan akan mengekalkan khidmat Osmera selepas ini.

Pihak FAM bersetuju untuk mengekalkan khidmat Osmera untuk tempoh suatu tempoh yang lebih panjang selepas beliau berjaya membimbing skuad ini untuk melakar sejarah yang cukup membanggakan serta menghidupkan peluang untuk misi ke Piala Dunia B17 di Peru tahun depan.

“Untuk Osmera, dia sudah membawa kita ke pusingan akhir jadi kita akan kekalkan khidmat beliau.”

Skuad muda Harimau Malaya tersebut akan terus mempersiapkan diri mereka bagi memastikan aksi yang lebih baik dapat ditunjukkan.

Terdahulu, pasukan B17 negara ini cemerlang menduduki tangga pertama kumpulan di pusingan kelayakan selepas membenam pasukan seperti Indonesia, Palestine dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).