Senarai pemain akhir ke Piala AFF 2022 belum dimuktamadkan Kim Pan-gon

2,085

Setakat ini, pemilihan pemain yang akan menggalas cabaran negara di kejohanan Piala AFF 2022 bermula Disember ini masih belum dimuktamadkan.

Hal ini dikongsikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Hj Rahman yang memberitahu bahawa ketua jurulatih, Kim Pan-gon setakat ini belum memberitahu sebarang perkembangan setakat ini.


“Setakat ini, belum ada isu yang dibangkitkan oleh Pan-gon jadi kita beranggapan semua dalam keadaan baik dan beliau sudah melihat pemain yang dikehendaki,”

kata beliau.

Beliau juga percaya bahawa senarai akhir tersebut akan berjaya didapatkan dalam tempoh terdekat memandangkan kejohanan bakal bermula tidak lama lagi.

“Untuk AFF kita akan hantar senarai awal pada 20 November, ketua jurulatih akan umumkan senarai akhir dalam 21 atau 22 November itu saya tidak pasti bergantung kepada Pan-gon.

Tetapi tarikh akhir untuk kita hantar senarai 70 pemain adalah pada 20 November ini.”

Dalam pada itu, posisi jurulatih kecergasan negara setakat ini akan diisi oleh Park Jihyeon yang kini bersama pasukan B-23 negara di bawah ketua jurulatih, E. Elavarasan.

Ini adalah susulan daripada keputusan mengejut oleh jurulatih kecergasan sebelum ini, Dr Gokhan Kandemir untuk meninggalkan pasukan negara baru-baru ini.

“Dr Gokhan berhenti disebabkan masalah peribadi dan kita tidak boleh halang.

Kita naikkan Park Jihyeon ke atas dengan syarat percubaan tiga bulan, kalau dia layak berdasarkan saranan Pan-gon kita akan kekalkan beliau memegang tugasan tersebut.”

Pada masa yang sama, FAM telah merancang pelan bagi memperbaiki kualiti pasukan B-23 negara yang sebelum ini kecundang di beberapa kejohanan besar.

Tindakan ini adalah untuk memastikan skuad Harimau Muda ini mampu untuk memperagakan persembahan yang lebih baik di kejohanan Sukan SEA Kemboja yang bakal berlangsung pada Mei tahun hadapan.

“Pasukan kebangsaan B23 akan menghadapi kejohanan Sukan SEA Kemboja pada 5 hingga 17 Mei 2023, untuk persedian kita akan menghantar mereka bertanding di Piala AFF B-22.

Hos dan venue kejohanan belum dapat disahkan lagi setakat ini.”

Terdahulu, skuad B-23 negara gagal meraih sebarang pingat di Sukan SEA 2021 selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Lebih parah, mereka menjadi mangsa belasahan pada aksi di Piala Asia B-23 yang turut berlangsung pada tahun ini.