Jurulatih dari Jordan jadi pilihan FAM untuk kendali skuad wanita negara

631

Pasukan bola sepak wanita negara akan mendapat nafas baru selepas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mencapai kata sepakat untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih dari luar negara.

Soleen Al-Zou’bi dari Jordan akan menggalas tanggungjawab tersebut bermula pada penghujung tahun ini.


Keputusan ini telah diberitahu pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Keenam bagi Penggal 2021-25 oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

“Jawatankuasa Eksekutif telah bersetuju untuk melantik ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan yang baru iaitu Ms. Soleen daripada Jordan bermula pada Disember nanti,”

katanya.

Ini menunjukkan perkembangan yang agak baik tatkala skuad Malayan Tigress telah menghadapi kempen mengecewakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini di bawah bekas jurulatih, Jacob Joseph.

Ini termasuk dengan aksi mengecewakan skuad wanita negara di kejohanan Piala AFF tahun ini di Filipina.

Pasukan negara sekadar berada di tangga kelima kumpulan selepas gagal mendapatkan sebarang kemenangan daripada lima perlawanan.

Soleen sebelum ini memainkan peranan besar selaku Pengarah Bola Sepak Wanita untuk Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA).

Pencapaian terdahulu Soleen bersama pasukan wanita Jordan di peringkat anatarabangsa juga tidak kurang hebatnya.

Terdahulu, beliau merupakan pengurus pasukan B-17 wanita Jordan sewaktu mereka menjadi negara pertama dari Zon Barat yang berjaya menempah slot ke Piala Dunia Wanita B-17 suatu ketika dahulu.

Pengalaman yang dimiliki oleh beliau yang juga merupakan seorang bekas pemain mampu membantu untuk membina semula skuad bola sepak wanita negara yang lebih baik di masa depan.

Semoga dengan kemasukan kepakaran dari luar negara ini mampu untuk memperbaiki ranking negara.

Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-89 dunia di belakang beberapa negara rantau Asia Tenggara seperti Filipina, Thailand, Vietnam serta Laos yang semakin maju di dalam sukan bola sepak wanita.