MFL boleh pertimbang jemput pasukan luar negara untuk mempertingkatkan tahap kompetitif Liga Malaysia

2,740

Pihak Malaysian Football League (MFL) mungkin boleh mula kembali merangka pelan untuk menjemput pasukan-pasukan daripada luar negara untuk menyertai saingan Liga Malaysia, seawal dari musim depan.

Perkara ini pernah dilakukan pada beberapa musim terdahulu dengan kehadiran pasukan seperti Singapura, Lions XII dan Brunei DPMM yang pernah memeriahkan saingan liga suatu ketika dahulu.


Kehadiran pasukan dari luar negara semestinya bakal menambahkan lagi kemeriahan saingan dan menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikan perlawanan.

Tambahan pula, mereka akan membantu dari segi peningkatan tahap kompetitif liga di Malaysia sekaligus bakal meningkatkan kualiti para pemain tempatan secara tidak langsung.

Ini kerana, selain daripada jumlah pasukan bertanding, sustainability pasukan daripada segi bajet dan sebagainya juga memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah liga tersebut berada di tahap kualiti yang tinggi.

Saban tahun, Liga Malaysia tidak lari daripada masalah pembubaran pasukan yang sedikit sebanyak mengganggu momentum saingan tempatan.

Untuk musim depan, Melaka United dan Sarawak United sah tidak akan dapat bersaing di Liga Super susulan masalah gaji serta dokumentasi yang gagal dilengkapkan.

Perkara ini menyebabkan jumlah pasukan bertanding menurun daripada 18 ke 16 pasukan dan sekarang timbul spekulasi bahawa sebuah lagi pasukan, PJ City FC bakal terkubur. UiTM FC juga dikhabarkan di dalam situasi ‘bahaya’.

Pasukan jemputan dari luar negara bakal mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan ini serta memberi cabaran yang kuat kepada kelab-kelab tempatan.

Sebagai contoh, Lions XII cukup cemerlang sewaktu mereka beraksi di Malaysia bermula tahun 2012 sehingga 2015.

Mereka berjaya merangkul gelaran Liga Super pada tahun 2013 manakala menjadi juara Piala FA pada tahun 2015.

Cabaran-cabaran sebeginilah yang akan menambahkan lagi kehangatan saingan liga yang buat masa ini didominasi sepenuhnya oleh pasukan Johor Darul Ta’zim FC.

Selepas ini, MFL mungkin boleh mempertimbangkan untuk membawa pasukan dari negara besar seperti Jepun dan Korea Selatan.

Sebagaimana yang dilakukan oleh Liga Perdana Singapura yang disertai oleh sebuah pasukan satelit Jepun, Albirex Niigata Singapore.

Mungkin pasukan feeder dari nama-nama besar Asia seperti Yokohama F Marinos, Urawa Red Diamonds dan Ulsan Hyundai dapat dibawa masuk ke saingan tempatan, semestinya ia akan menambahkan nilai komersial liga.

Perkara ini boleh direalisasikan menerusi pelbagai cara seperti jalinan hubungan korporat dengan syarikat penaja di negara tersebut ataupun hubungan kedutaan.

Pada masa yang sama, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga boleh mula mencari inisiatif untuk kembali menghantar skuad muda negara beraksi di liga-liga luar negara seperti yang pernah dilakukan sebelum ini kepada pasukan Harimau Muda.

Skuad Projek FAM-MSN akan menjadi pilihan terbaik buat usaha ini bagi meningkatkan kualiti setiap pemain yang berada di dalam pasukan tersebut berbanding hanya meletakkan mereka untuk beraksi di Liga Simpanan musim depan.