Hafiy Hamdan buktikan Kedah jelas masih ada ‘ubi muda’ berkualiti, jalani latihan di Sepanyol bersama Granada

589

Nampaknya tuduhan bahawa Kedah sudah kehabisan ‘ubi muda’ nampaknya tidak lagi relevan selepas seorang pemain muda, Hafiy Hamdan berjaya mendapat peluang untuk berlatih di kelab divisyen kedua Sepanyol, Granada FC.

Hafiy merupakan pemain yang terlahir daripada akademi Hijau Kuning FC yang juga merupakan rakan rasmi bagi Akademi Bola Sepak Belia Kedah Darul Aman FC.


Ini menunjukkan bahawa usaha Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) serta kelab di negeri tersebut dalam mengembalikan semula kelompok pemain muda semakin membuahkan hasil.

Ini kerana, sejak kebelakangan ini Kedah dilihat gagal menunjukkan dominasi bagi kejohanan di peringkat muda seperti Piala Presiden dan Piala Belia.

Kejayaan Hafiy yang kini berusia 17 tahun akan menjadi titik permulaan terbaik untuk fans kembali melihat kebangkitan pemain-pemain muda dari jaguh utara tersebut.

Beliau akan menjalani latihan selama seminggu di akademi latihan untuk sesi suai kenal sebelum kembali menyambung semula latihan selepas beliau selesa menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia pada Mac 2023.

Hafiy merupakan penyerang dan beliau dilihat miliki potensi besar untuk terus menggilap bakatnya ke peringkat yang jauh lebih tinggi.

Terdahulu, dua pemain muda negara turut berjaya menarik perhatian pemerhati bola sepak di Sepanyol.

Mereka adalah Allee Putra yang berlatih bersama Malaga City FC serta Amar Makruf yang sebelum ini telah menandatangani kontrak profesional bersama sebuah lagi kelab divisyen dua, AD Alcorcon.

Semoga lebih ramai lagi pemain-pemain muda negara berjaya mendapat tempat di luar negara bagi membolehkan mereka untuk terus meningkatkan kualiti dan kemampuan di atas padang.

Hijau Kuning FC telah diperkenalkan pada tahun 2020 dengan sasaran utama untuk menjadi sebuah akademi bola sepak berkelas dunia serta berperanan selaku kelab penghasil bakat yang boleh disalurkan kepada pasukan Kedah serta Malaysia suatu hari nanti.

Suatu perkembangan yang baik dapat dilihat selepas lebih banyak pihak yang semakin mengambil berat terhadap pembangunan di peringkat akar umbi.

Kemajuan seperti inilah yang akan meningkatkan lagi kualiti serta mutu bola sepak Malaysia ke tahap yang jauh lebih baik.

Kelompok pemain muda yang berpotensi besar akan mampu memacu negara untuk mencapai lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa di masa hadapan.