Tidak mustahil JDT|GBX Esports mampu melonjak top 10 dunia, harumkan nama Johor Darul Ta’zim dan Malaysia

610

Gergasi bola sepak negara Johor Darul Ta’zim baru-baru ini telah mengumumkan kolaborasi terbaru bersama pasukan GBX Esports.

Kolaborasi ini bertujuan bagi membentuk sebuah pasukan E-Sukan berkualiti tinggi yang bakal bersaing bagi acara FIFAe.


Lebih membanggakan, pasukan yang kini dikenali sebagai JDT|GBX Esports berada di tangga ke-14 dunia bagi acara FIFAe selepas berjaya mengumpul 785 mata daripada kejohanan-kejohanan yang disertai sebelum ini.

Kejayaan ini membolehkan skuad JDT|GBX Esports ini berada di kedudukan no.1 Asia mengatasi wakil daripada negara-negara lain seperti Jepun, Singapura dan sebagainya.

Dengan kedudukan semasa, tidak mustahil untuk pasukan ini melonjak dengan lebih jauh dalam masa terdekat untuk menempatkan diri di kelompok 10 teratas dunia sebaris dengan nama-nama besar di dalam FIFAe seperti Fnatic, Riders dan FC Schalke 04.

Tambahan pula, mereka dibarisi oleh pemain-pemain terbaik di rantau ini seperti Ahmad Akmal yang juga merupakan wakil skuad FIFAe Malaysia serta pemain profesional dari Indonesia, Ega Rahmaditya atau lebih dikenali sebagai ‘Eggsy’.

Selain daripada dua pemain ini, mereka juga memiliki pemain-pemain profesional tempatan yang berkualiti tinggi serta mampu membawa nama pasukan ke peringkat yang lebih tinggi.

Antaranya adalah Faiq Iskandar, Imran Burhanudeen, Sharin Shaharudin serta Zuhair Mustaffa yang sebelum ini pernah bersaing di kejohanan tempatan seperti unifi eMFL Liga Super dan sebagainya.

Cabaran terdekat buat para pemain ini akan bermula pada 17 November ini menerusi penyertaan di kejohanan FIFAe Club Series 2023 yang akan berlanjutan sehingga Mei 2023.

Mereka perlu mengekalkan aksi konsisten tatkala ini akan menjadi pusingan saringan untuk melayakkan diri ke kejohanan FIFAe Club World Cup tahun hadapan.

Selain memberi fokus sepenuhnya kepada FIFAe, JDT|GBX Esports turut memberi perhatian kepada acara eFootball yang turut mendapat tempat di kalangan peminat E-Sukan ketika ini.

JDT|GBX Esports telah membawa masuk pemenang pingat emas di Kejohanan E-Sukan Komanwel pada tahun ini, Mohd Norhaikal.

Norhaikal merupakan anak kelahiran Johor yang pernah mewakili pasukan JDT sebelum ini dalam beberapa acara di peringkat Asia Tenggara.

Ketika ini, beliau sedang menggalas cabaran di kejohanan eFootball International Cup yang telah membuka tirai pada Oktober lalu.

Sememangnya JDT bukan sahaja ingin mendominasi bola sepak semata-mata malah turut bercita-cita dalam melebarkan sayap dengan lebih jauh di dalam bidang E-Sukan yang semakin mendapat perhatian global.