Roy Azman anggap JDT di satu tahap berbeza, sukar untuk ditandingi
Pelakon negara, Roy Azman melihat pasukan gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim FC telah berada di suatu tahap berbeza dan sukar untuk ditandingi setakat ini.
“Saya ada menonton perlawanan JDT dan Kelantan baru-baru ini.
Nampak JDT macam biasa, dia ada satu tahap yang lain dekat atas dan sukar ditandingi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Roy sememangnya cukup terkenal dengan aksi akrobatik yang ditunjukkan oleh beliau setiap kali beraksi sebagai penjaga gol untuk sebarang perlawanan yang melibatkan artis tanah air.
Tidak disangka, beliau sebenarnya memiliki pengalaman beraksi di kejohanan besar tempatan suatu ketika dahulu di samping kariernya sebagai seorang penghibur.
“Dulu main untuk Liga Selangor, lama juga dalam lebih kurang 4 tahun.”
Namun, disebabkan kekangan karier lakonan dan industri hiburan, beliau terpaksa melupakan hasrat untuk terus bergelar pemain bola sepak.
Ternyata sukar membahagikan masa jika ingin terlibat serius dalam kedua-dua bidang ini kerana ia memerlukan pengorbanan yang cukup besar.
Sebenarnya, ramai artis Malaysia yang memiliki kebolehan serta keupayaan untuk bermain bola sepak namun mereka sekadar menjadikan perkara tersebut sebagai hobi sampingan mereka tatkala mempunyai masa terluang.
“Dulu memang main bola tapi kena pilih antara bola dan kerjaya, jadinya kerjaya harus jadi pilihan utama.
Tiada masa untuk berlatih semua kerana sibuk berlakon, dengan umur yang semakin meningkat kita terpaksa lupakan hasrat.”