Ini masa untuk BAM realisasikan impian peminat melihat Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 di Malaysia
Guangzhou telah dipilih sebagai tuan rumah kepada Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 yang sepatutnya dijadual pada 14 hingga 18 Disember ini.
Setakat ini, Malaysia sudah berjaya meraih enam slot untuk bertanding yang terdiri daripada wakil bagi acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Namun, penularan wabak COVID-19 yang semakin memuncak di negara China telah menimbulkan kerisauan buat pemain dan juga peminat badminton negara.
Terkini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menolak kemungkinan untuk tidak menghantar para pemain ke sana bagi mengelak daripada risiko dijangkiti oleh virus tersebut.
Malang sekali sekiranya perkara ini benar-benar berlaku tatkala para pemain sudah memberikan yang terbaik sepanjang tahun ini bagi merebut tempat ke kejohanan utama dunia ini.
Terdahulu, Malaysia telah dicanang-canang sebagai salah sebuah lokasi yang sesuai untuk menjadi tuan rumah terbaru sekiranya masalah COVID-19 di China terus memuncak.
BAM mungkin boleh mempertimbangkan untuk melakukan sesuatu bagi menjadikan perkara ini sebagai sebuah realiti memandangkan ia juga bakal memberi kelebihan kepada ramai pihak.
Dari segi infrastruktur, Malaysia dilihat cukup bersedia bagi menganjurkan kejohanan tersebut sepertimana yang dilihat sebelum ini sewaktu di kejohanan Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters.
Tambahan pula, peminat badminton Malaysia yang fanatik akan mampu memeriahkan lagi suasana sekiranya kejohanan tersebut diadakan di sini.
Sokongan dan laungan gegak gempita yang akan diberikan bakal menjadi pembakar semangat terbaik buat pemain Malaysia dalam usaha untuk melakukan kejutan dalam mendominasi kejohanan tersebut.
Ini peluang yang cukup baik buat negara memandangkan momentum pemain-pemain Malaysia kini di tahap terbaik.
Berdasarkan ranking semasa, semakin banyak pemain negara seperti beregu wanita utama, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan yang berjaya memperbaiki kedudukan serta memperoleh kedudukan 10 teratas dunia.
Satu kerugian besar jika penyertaan wakil negara kita dibatalkan kejohanan tersebut disebabkan oleh perkara sebegini.
Dengan jumlah kes yang masih terkawal di Malaysia, prosedur kejohanan semestinya tidak menjadi terlalu rumit sebagaimana yang telah ditetapkan kepada pemain ketika ini sekiranya mereka ingin bertanding di Guangzhou.
Kesemua pemain diminta untuk perlu berada di Bangkok selama tiga hari terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi kejohanan.
Ini semestinya akan menyebabkan pemain kepenatan dan terkesan daripada perjalanan yang memakan tempoh yang lebih lama daripada biasa.
Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada perbincangan yang telah dilakukan oleh badan induk badminton dunia dan akan diumumkan tidak lama lagi.
Harapnya ada peluang untuk kita melihat pemain handalan dunia beraksi di gelanggang Axiata Arena sekali lagi tahun ini.