Rancang untuk jual Cardiff City, harap Vincent Tan beri peluang kepada lebih ramai pemain Malaysia terlebih dahulu
Taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan ada menyatakan niat beliau untuk melepaskan kelab yang dimilikinya di England, Cardiff City.
Kenyataan tersebut telah dikongsikan menerusi satu temu bual yang dijalankan oleh Wales Online sewaktu perlawanan menentang Hull City yang berkesudahan dengan kekalahan Cardiff dengan skor 3-2.
Walau bagaimanapun, beliau tidak akan melakukan perkara tersebut dalam tempoh terdekat dan akan menunggu terlebih dahulu untuk masa yang sesuai.
Vincent Tan cukup terkenal dengan sokongan yang diberikan beliau dalam usaha membangunkan kualiti bola sepak negara.
Harap sebelum Vincent Tan benar-benar mengambil keputusan untuk melepaskan Cardiff, pemain Malaysia diberikan peluang untuk berangkat ke England dan menjalani trial atau latihan bersama skuad Bluebirds.
Terutama sekali buat beberapa pemain muda negara yang semakin meningkat naik seperti Arif Aiman, Daryl Sham dan Feroz Baharudin yang cemerlang bersama pasukan Johor Darul Ta’zim FC musim ini.
Terdahulu, Vincent Tan yang juga memiliki saham di kelab Belgium, KV Kortrijk telah membawa pemain muda negara, Luqman Hakim untuk bersama pasukan tersebut sejak tahun 2020.
Peluang sebegini mampu memberi lebih pendedahan kepada pemain muda negara untuk merasai sendiri pengalaman berlatih dan bermain bersama kelab-kelab Eropah.
Tidak mustahil, pengalaman dan ilmu yang diperoleh meskipun untuk tempoh yang singkat akan mampu menjulang seseorang pemain muda lebih jauh di masa depan karier mereka.
Sebelum ini, Vincent Tan sudi menggunakan kelebihan sebagai pemilik untuk membawa beberapa pemain negara seperti Safee Sali dan Safiq Rahim untuk menjalani latihan di Cardiff.
Kali terakhir Vincent Tan membawa pemain dari Malaysia ke sana adalah menerusi kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada tahun 2019.
Empat pemain yang dipilih untuk berlatih bersama skuad B-23 Cardiff pada ketika itu adalah Aminuddin Abu Bakar, Suhaimie Saad, Asri Mohamad serta Fadzrul Daniel.
Beberapa tahun sebelum itu, empat orang pemain iaitu Luqman Hakim, Akhyar Rashid, Osman Yusof serta Shazuan Hazani turut berpeluang berlatih bersama skuad Bluebirds.
Besar harapan peminat untuk terus melihat peluang-peluang seperti ini dapat diberikan kepada pemain muda berbakat yang dimiliki oleh negara.
Dalam pada itu, peminat bola sepak negara telah menerima satu khabar gembira tentang seorang lagi ahli perniagaan Malaysia merangkap Pengerusi Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Dato’ Ananth S Nathan yang baru sahaja menjadi pemegang saham kedua terbesar buat pasukan AFC Wimbledon.
AFC Wimbledon kini beraksi di divisyen keempat buat saingan liga bola sepak di England yang dikenali sebagai EFL League Two.
Walau bagaimanapun, perkongsian terbaru yang dilakukan oleh Vincent Tan ini nyata mengejutkan ramai pihak tatkala beliau sudah sekian lama memiliki kelab tersebut.
Semoga Vincent Tan dapat melepaskan Cardiff dengan nilai yang baik kerana bola sepak secara dasarnya adalah sebuah perniagaan dan perlu menguntungkan mereka yang sanggup melabur.