Chanathip Songkrasin anggap No.2 sebagai kegagalan, semangat yang perlu dicontohi oleh pemain Malaysia dan Asia Tenggara

837

Kawasaki Frontale gagal meraih gelaran juara J1 League selepas akur dengan kehebatan Yokohama F Marinos yang ternyata lebih unggul.

Perkara ini menyebabkan ketua pasukan kebangsaan Thailand yang buat musim pertama beraksi bersama kelab tersebut, Chanathip Songkrasin menganggap musim ini sebagai kegagalan peribadinya selepas gagal membantu Kawasaki memenangi trofi juara.


Sebenarnya, Kawasaki hanya dipisahkan dengan perbezaan dua mata selepas Yokohama.

Kawasaki dan Yokohama berkongsi jumlah kemenangan yang sama iaitu 20 perlawanan namun perbezaan seri dan kalah sahaja yang menjadi pemisah.

Semangat serta mentaliti yang ditunjukkan oleh Chanathip membuktikan tahap sebenar beliau pada ketika ini yang nyata berbeza dengan pemain Asia Tenggara lain terutama sekali di Malaysia.

Walaupun berjaya mengatasi beberapa kelab handalan di Jepun seperti Urawa Red Diamonds dan Kashima Antlers, Chanathip nyata tidak berpuas hati dan dahagakan lebih daripada perkara tersebut.

Pemain Malaysia terutamanya golongan muda perlu menjadikan situasi ini sebagai teladan untuk mereka lebih bermotivasi dalam memberikan yang terbaik setiap kali diberikan peluang.

Dengan ketinggian 5 kaki lebih sahaja, ‘Messi J’ berjaya membuktikan bahawa saiz dan bentuk fizikal bukanlah penghalang untuk bergerak ke hadapan.

Perubahan corak permainan bola sepak ke arah yang lebih moden membolehkan pemain bertubuh kecil untuk turut memiliki kelebihan untuk mengatasi pemain dengan fizikal yang lebih besar sekiranya mereka mempunyai IQ bola sepak yang tinggi.

Ini merupakan tahun keenam buat pemain berusia 29 tahun tersebut bersaing di Jepun dan tidak dapat dinafikan bahawa beliau sering berjaya menyajikan aksi yang memukau mata para peminat.

Chanathip telah beraksi sebanyak 21 kali musim ini dan berjaya menjaringkan dua gol serta menghasilkan tiga bantuan jaringan dalam semua kejohanan yang disertainya di peringkat kelab.

Kelincahan beliau yang cukup memukau menjadikannya sebagai pemain yang tergolong di dalam senarai 30 pemain paling bernilai di pasaran Liga J1 di atas beberapa pemain ternama Jepun seperti Hiroshi Kiyotake dan Teruhito Nakagawa.

Chanathip akan bersama pasukannya adalam aksi Cabaran Asia Liga J yang diadakan di Thailand bermula pada 12 hingga 15 November ini.

Pasukan lain yang akan menyertai acara tersebut adalah bekas kelab Chanathip, Consadole Sapporo yang turut memiliki seorang lagi bintang Thailand, Supachok Sarachat selain daripada dua pasukan gergasi tuan rumah, Buriram United dan BG Pathum United.