Qi Group belum terima tawaran ambil alih PJ City daripada mana-mana pihak setakat ini

1,143

Presiden PJ City FC, Dato’ Sri Subahan Kamal memberitahu bahawa pihak pengurusan PJ City belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak untuk membeli hak milik kelab tersebut setakat ini.

Beliau juga berharap mana-mana pasukan yang berniat untuk melakukan perkara tersebut dapat melakukan perbincangan lebih terperinci bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Ganesan Shanmugam.


“Saya tidak boleh komen kerana saya tidak tahu tapi mereka boleh berhubung terus dengan CEO untuk membincangkan perkara tersebut.

Untuk nilai juga saya tidak boleh komen kerana saya hanya diberi mandat untuk menguruskan pasukan dalam liga.” katanya.

Sebelum ini, ada khabar angin yang mengaitkan pasukan ini dengan beberapa nama seperti Harini FT serta sebuah platform e-commerce terkenal.

Meskipun terbuka, mereka tetap meletakkan syarat kepada mana-mana syarikat yang berkeinginan untuk kekal menggunakan nama PJ City bagi bersaing di dalam Liga Super musim depan.

“Kami biar terbuka jika ada pasukan yang ingin membeli pasukan ini tapi mereka perlu menggunakan nama PJ City untuk tahun depan.

Kami terbuka jika ada sebarang cadangan dan niat pembelian.”

Beliau turut menyatakan sebab utama keputusan dilakukan oleh pemilik, Qi Group untuk menarik diri dari saingan Liga Super musim depan bukanlah kerana faktor kewangan sepertimana yang diperkatakan.

Ini kerana Qi Group merupakan sebuah syarikat yang telah sekian lama menaja pelbagai jenis sukan di dunia bukan sahaja bola sepak.

“Kelab telah diuruskan dengan cukup baik, dari segi kewangan juga kita sangat kukuh sebenarnya Qi Group sudah berada di dalam industri sukan sekian lama bukan sahaja di Malaysia.

Kita juga telah menaja beberapa pasukan F1 dan ketika ini kami masih merupakan penaja rasmi eCommerce untuk Manchester City,”

katanya kepada media.

Secara dasarnya, perubahan format liga pada musim depan merupakan antara penyebab utama kata sepakat ini telah dilakukan oleh barisan pimpinan tertinggi Qi Group yang melihat pilihan ini sebagai jalan terbaik buat masa sekarang.

Terdahulu, pihak Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan perubahan format liga yang bakal menambah kuota import daripada jumlah sedia ada.

Perubahan ini dilihat akan menjadi masalah besar buat pasukan PJ City tatkala mereka terkenal dengan prinsip #YakiniLokal mereka.

“Melihat kepada keadaan bola sepak ke depan, kami sedar yang ia tidak akan mudah untuk bersaing dengan suasana bola sepak seperti itu.

Dengan ada penambahan yang ditetapkan ia akan menjadi lebih rumit kerana lima import sahaja sudah susah, ia akan jadi lebih jika ada lebih ramai lagi.”

Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan bahawa pasukan ini telah ditadbir urus dengan baik dari segi pengurusan pemain dan kesemua staf kejurulatihan.

Meskipun bersaing dengan bajet kecil, mereka merupakan antara kelab yang tidak pernah dihimpit masalah tunggakan gaji seperti yang dihadapi oleh pasukan besar yang lain.

“Kami bangga untuk umumkan bahawa buat masa ini kami tidak memiliki sebarang hutang, kami antara pasukan yang berjaya menguruskan kelab dengan baik di negara ini.

Kami membayar gaji tepat waktunya, tiada hutang, dan pemain semua gembira.”

Walau bagaimanapun, Subahan turut memberi jaminan bahawa pihak mereka tidak akan terus berundur sepenuhnya dari bola sepak tempatan dan akan terus tetap membantu negara dalam usaha pembangunan pemain.

Ini termasuk usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti seperti mana yang telah dilakukan selama ini.

“Kami akan lakukan proses pembangunan dan akan beritahu tentang perancangan tersebut satu tempoh akan datang.”