Saya rasa P. Maniam perlu diberi satu tugas di FAM – Dato’ Sri Subahan Kamal

815

Presiden PJ City FC, Dato’ Sri Subahan Kamal menyatakan padangannya bahawa P. Maniam perlu berada dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana beliau adalah seorang ketua jurulatih yang cukup berkaliber terutamanya dalam menggilap bakat muda.

“Ini adalah pandangan ikhlas saya sepanjang berkecimpung dalam dunia bola sepak sejak 2003. Saya rasa P. Maniam perlu diberi satu tugas di FAM kerana beliau seorang jurulatih yang tidak mempunyai banyak kerenah, berdedikasi, komited dan saya cukup yakin jika ada ruang beliau perlu diberi satu tanggungjawab di FAM sebagai salah seorang jurulatih pemain-pemain muda.

P. Maniam adalah seorang jurulatih yang berkaliber yang mempunyai bakat dalam menggilap bakat-bakat muda. Beliau tahu ‘menghidu’ bakat dan menggilap pemain itu menjadi seorang pemain yang hebat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Subahan, jurulatih berusia 54 tahun itu sudah pun membuktikan kemampuannya apabila berjaya menggilap pemain muda seperti V. Ruventhiran yang kini merupakan pemain kebangsaan dan juga berjaya meningkatkan semula prestasi penyerang negara Darren Lok pada tahap terbaik.


Subahan pada masa sama juga mengetahui bahawa terdapat beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat P. Maniam untuk musim depan.

P. Maniam ketika ini sedang dikaitkan dengan dua kelab Liga Super iaitu Penang FC dan PDRM FC, namun sehingga kini masih belum ada sebarang pengesahan oleh tuan empunya badan.

Beliau turut menjelaskan pihak pengurusan tidak akan lepas tangan begitu sahaja mengenai nasib pemain skuad The Phoenix yang masih mempunyai kontrak bersama kelab itu.

“Kita tidak akan lari dari kontrak dan pemain juga sudah tahu. Setakat ini tiada masalah timbul dengan kontrak kerana kedua-dua pihak berjaya capai satu persetujuan. Kami akan pastikan semua gembira dan ia dilakukan dengan cara yang betul.”

Dalam pada itu, Subahan juga tidak dapat memberi sebarang komen berhubung khabar angin yang mengatakan bahawa terdapat pihak yang berminat iaitu Harini FT dan sebuah syarikat e-commerce popular untuk mengambil alih PJ City pada musim hadapan.

“Saya nak komen tak boleh sebab tak pernah dengar tapi kalau ada mereka boleh berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif saja.”

Terdahulu, teka-teki mengenai status pasukan PJ City dalam saingan Liga Super pada musim depan akhirnya terjawab juga apabila mereka telah mengesahkan tidak akan beraksi walaupun sudah mendapat Lesen Kebangsaan.

Antara faktor yang menyebabkan PJ City terpaksa menarik diri adalah kerana keputusan Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan penambahan kuota pemain import yang dilihat akan menyebabkan pasukan itu lebih sukar untuk bersaing.

Subahan bagaimanapun tidak mengkritik keputusan itu, sebaliknya berkata ia dibuat oleh mereka yang pakar dalam dunia bola sepak dan mereka menghormati keputusan itu, tetapi mereka bersikap realistik di mana ia akan membuatkan situasi mereka lebih sukar untuk bersaing.