Singapura, Laos rancak rangka persiapan ke Piala AFF, berlatih di Jepun, Thailand  

455

Pasukan bola sepak negara setakat ini masih belum menunjukkan sebarang perkembangan terhadap persiapan menjelang aksi Piala AFF 2022 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Sehingga ke hari ini, ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon tidak melakukan sebarang pengumuman rasmi berkenaan skuad yang bakal dibawa olehnya pada kejohanan tersebut.


Perkara ini menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat bola sepak negara tatkala Malaysia dilihat seakan tidak bersedia berbanding negara-negara lain yang semakin rancak melakukan persiapan.

Antaranya adalah pasukan Singapura dan Laos yang telah diundi bersama pasukan negara bagi mengharungi saingan Piala AFF yang bakal membuka tirai pada 21 Disember ini.

Baru-baru ini, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Singapura, Takayuki Nishigaya telah menamakan 29 pemain awal yang telah disenarai pendek bagi menghadapi saingan Piala AFF tahun ini.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) juga bakal menghantar pasukan mereka ke Jepun selama lebih kurang 12 hari bermula pada 1 Disember bagi menghadapi dua siri perlawanan persahabatan di sana.

Selain itu, The Lions juga bakal mengadakan sebuah perlawanan persahabatan bertemu Maldives di gelanggang sendiri pada 17 Disember.

Situasi ini menunjukkan bahawa pasukan Singapura kini dalam proses persiapan terbaik bagi menyediakan skuad yang mampu melakar kejutan pada kejohanan kali ini.

Tambahan lagi, Nishigaya telah memanggil beberapa pemain yang mempamerkan kecemerlangan musim ini seperti Ilhan Fandi serta dua abangnya, Ikhsan Fandi dan Irfan Fandi yang beraksi di Liga Thailand bersama BG Pathum United.

Seperti yang kita sedia maklum, Ilhan merupakan pemain muda Singapura yang semakin meningkat naik dengan kejayaan yang diraihnya musim ini.

Musim ini, Ilhan yang beraksi bersama pasukan Albirex Niigata Singapore berjaya menjaringkan 17 gol daripada 21 perlawanan liga.

Pemain naturalisasi dari Korea Selatan, Song Ui-young turut berjaya meraih tempat di dalam senarai 29 pemain ini.

Ui-young yang pertama kali tiba di Singapura pada tahun 2012 sewaktu menyertai pasukan Home United telah dinaturalisasi secara rasmi pada tahun 2021.

Kehadiran pemain tengah tersebut boleh dianggap merbahaya berdasarkan statistik semasanya bersama pasukan Lion City Sailors.

Ui-young telah menjaringkan 13 gol dan mencatatkan empat bantuan jaringan selepas beraksi sebanyak 24 perlawanan di dalam saingan liga.

Ini akan menjadi antara faktor-faktor yang perlu dilihat secara teliti oleh Pan-gon serta barisan kejurulatihan Malaysia yang lain bagi memastikan kemenangan dapat diraih dalam perlawanan yang dijadual berlangsung pada 3 Januari 2023.

Laos juga tidak kurang hebat dalam menyiapkan sebuah pasukan yang lebih bersedia untuk bersaing pada tahun ini.

Baru-baru ini, mereka telah menjalankan sebuah perlawanan persahabatan bersama kelab Liga 3 Thailand, Saraburi United.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan yang berpihak kepada pasukan Laos dengan keputusan 4-0.

Dengan persiapan rapi yang dilakukan oleh pasukan-pasukan ini, Malaysia seharusnya memastikan pemain yang bakal dipilih bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang besar bagi memperbaiki pencapaian pada edisi terakhir.

Berkemungkinan besar, Pan-gon masih menantikan Piala Malaysia untuk berakhir terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan memandangkan kebanyakan pemain negara beraksi untuk pasukan yang masih bertanding.

Dengan jadual yang begitu padat, harapnya pemain Malaysia yang dipilih untuk menggalas cabaran ini tidak akan begitu terkesan dan kepenatan.

Besar harapan peminat untuk melihat pasukan ini berjaya melakar kejayaan sepertimana yang pernah diraih pada tahun 2010 bagi melengkapkan tahun gemilang bola sepak negara.

Ayuh Malaysiaku!