P. Maniam sedia kembali ke FAM untuk kendali skuad Harimau Muda
Ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam mengakui sedia untuk kembali mengendalikan skuad remaja kebangsaan sekiranya diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya rasa saya sangat gembira untuk kendalikan pasukan remaja. Kalau bagi peluang saya boleh didik pemain dan sebagai jurulatih saya ada rekod macam B-19, Piala Presiden dan B-15 yang mana kita pernah menyertai Piala AFF dan beberapa kejohanan lagi.
Jadi kalau bagi peluang saya rasa saya akan buktikan dan akan main dalam satu tahap yang bagus,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PJ City, Dato’ Sri Subahan Kamal yang berkata P. Maniam patut diberi satu tugas dalam FAM.
Subahan Kamal dalam satu temubual bersama Harimau Malaya turut memberitahu bahawa P. Maniam yang berusia 54 tahun adalah seorang jurulatih yang cukup berkaliber dan tidak mempunyai karenah.
Tambahnya lagi, P. Maniam mempunyai kelebihan mengesan bakat-bakat muda dan menggilap mereka menjadi seorang pemain terbaik.
Sementara itu, P. Maniam kini sah tidak akan mengendalikan skuad The Phoenix pada musim depan selepas pengurusan tertinggi Qi Group mengambil keputusan untuk menarik diri dari saingan Liga Super.
Walaupun mengumumkan penarikan diri dari Liga Super, namun pihak Qi Group bersedia untuk melepaskan kelab itu kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil alih sekaligus dapat meneruskan perjuangan di Liga Super kerana PJ City sudah pun mendapat Lesen Kebangsaan.
Pengumuman ini nyata mengejutkan ramai kerana PJ City merupakan antara kelab yang bersih dari sebarang masalah terutamanya membabitkan pembayaran gaji pemain.