Manuel Hidalgo harap Sri Pahang FC tak buat perubahan besar musim depan dan dapat menaik taraf padang latihan

3,241

Pemain import sensasi Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo berharap agar pihak pengurusan tidak melakukan perubahan besar pada musim hadapan sebaliknya hanya mahu kelab dapat menaik taraf padang latihan mereka menjadi lebih baik lagi pada musim hadapan.

“Jika saya terus kekal di sini saya rasa perkara yang perlu diperbaiki adalah padang latihan. Pengurusan sudah melakukan yang terbaik termasuk membawa masuk pemain berkualiti yang mempunyai pengalaman, oleh itu saya harap ia dapat dikekalkan pada musim depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hidalgo, perkara yang paling untuk ketika ini adalah untuk pihak pengurusan tidak melakukan perubahan yang besar dalam pasukan kerana beliau dan rakan sepasukan sudah mempunyai keserasian yang baik.


“Kita perlu teruskan seperti ini dan tak perlu buat perubahan sangat kerana apa yang penting dalam pasukan adalah keharmonian antara pemain dan ini akan memberi kesan yang baik. Lihat saja pasukan seperti Terengganu FC, mereka sudah lama sama oleh itu kita dapat lihat aksi mereka cukup menarik kerana sudah tahu cara masing-masing bermain.”

Pemain berusia 23 tahun itu juga menafikan akan meninggalkan skuad Tok Gajah pada musim hadapan kerana beliau masih mempunyai kontrak sehingga tahun depan.

Dalam pada itu, pemain berasal dari Argentina ini turut berkongsi pengalamannya bermain di bawah dua jurulatih berbeza pada musim ini iaitu Christophe Gamel dan Datuk Dollah Salleh dan Fandi Ahmad.

“Gamel seorang jurulatih yang lebih agresif dan mahukan pemain sentiasa beri lebih, manakala Dollah dan Fandi bantu mereka untuk naikkan keyakinan pemain terutamanya pemain tempatan dan tidak memberi tekanan supaya mereka dapat meningkatkan permainan mereka dengan lebih baik. Ia sangat bagus dan kami sepasukan sangat bersatu.”

Beliau bagaimanapun berkata kekalahan memalukan kepada Terengganu dalam saingan Piala Malaysia adalah sesuatu yang sukar diterima oleh beliau dan rakan sepasukan kerana mereka sedang berada pada tahap terbaik ketika itu.

Hidalgo menjadi pemain yang paling disebut-sebut oleh peminat bola sepak tanah air pada musim ini kerana aksi yang cukup memukau sepanjang musim ini.

Sepanjang 20 perlawanan di Liga Super beliau telah menjaringkan tujuh gol dan membuat 10 bantuan gol.