Manuel Hidalgo akui sangat terkesan dengan pemergiaan lagenda Argentina, Diego Maradona
Pemain sayap sensasi Manuel Hidalgo mendedahkan kehidupan amat terkesan apabila mendapat perkhabaran idolanya yang juga lagenda bola sepak dunia Argentina, Diego Maradona meninggal dunia dua tahun lalu.
Menurut Hidalgo, ketika pemergian Maradona beliau sedang bersama kelab Sheffield Wednesday di England yang mana beliau kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke Argentina untuk ‘berehat’ buat seketika waktu, sebelum buat keputusan untuk berhijrah ke Malaysia untuk bersama Sri Pahang.
“Ketika Maradona meninggal dunia saya sedang bermain di England yang mana ketika itu saya masih mempunyai baki kontrak setahun lagi. Saya kemudian bertanyakan pada diri sendiri ‘apa saya buat di sini’. Sebaik sahaja kontrak saya tamat, saya terus pulang ke Argentina.
Saya sangat terkesan dengan pemergiaan Maradona, jadi saya perlukan masa untuk ‘berehat’ selama empat ke lima bulan kerana sukar untuk saya turun berlatih.
Tapi apabila Sri Pahang beri saya peluang, sebab itu saya sangat menghargai Sri Pahang apabila pemilik, pengurusan dan semua orang beri saya peluang untuk tujukkan bakat saya semula,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, prestasi cemerlang yang dipamerkan sepanjang musim bersama skuad Tok Gajah pada musim ini adalah kerana mahu membalas jasa baik kelab itu.
Dalam pada itu, Hidalgo juga memberitahu hubungannya dengan penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Fernando Forestieri sangat baik kerana mereka pernah menjadi rakan sepasukan di Sheffield Wednesday.
“Beliau (Forestieri) bukan sahaja seorang pemain yang berkualiti, tapi juga seorang yang baik hati kerana saya pernah tinggal bersamanya di England bersama isteri dan anaknya.”
Kedua-dua pemain ini kembali bertemu di atas padang namun bukan sebagai rakan sepasukan sebaliknya sebagai pemain lawan.
Dalam dua perlawanan Liga Super membabitkan Sri Pahang dan JDT, kedua-dua perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 dan 0-0.