Dulu pun ada pertukaran teruk, kitman staf juga! Fadhil Wahab anggap media sosial hanya keruhkan keadaan

2,455

Pengurus pasukan Terengganu FC, Mohd Fadhil Wahab menganggap platform media sosial hanya menambah pengaruh yang buruk terhadap isu kontrak ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain yang menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini.

Tambahan pula, beliau juga berpendapat bahawa keluar masuk seseorang jurulatih dan pemain di dalam sebuah pasukan adalah perkara yang biasa terjadi.


Perkara ini dianggap masuk akal kerana sudah menjadi kebiasaan buat mana-mana jurulatih dan pemain meninggalkan sesebuah pasukan selepas tamat kontrak.

Cuma untuk situasi Nafuzi kali ini, isu kontrak lanjutan beliau mendapat perhatian daripada banyak pihak yang mempersoalkan pihak pengurusan TFC berdasarkan apa yang dikeluarkan oleh Nafuzi sendiri selepas tamat perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang KL City FC baru-baru ini.

Melihat daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh TFC, Nafuzi dikatakan telah bersetuju dan menandatangani tawaran bersama kelab lain bagi musim depan seawal Ogos lalu meskipun kontrak beliau akan tamat pada November ini.

Ini dilihat sebagai sebuah tindakan kurang profesional daripada seorang jurulatih berkaliber seperti beliau namun perlu juga dilihat daripada sisi Nafuzi sendiri tatkala beliau mungkin rasa tidak dihargai setelah menunjukkan kualiti yang baik sepanjang menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih.

Untuk perkara ini, TFC berkemungkinan akan mengambil tindakan lanjut ke atas Nafuzi.

Perkara-perkara terperinci seperti ini sebenarnya tidak dibincangkan di media sosial dan ia seterusnya dikeruhkan lagi oleh segelintir peminat yang tidak memahami pokok pangkal sesebuah masalah.

Walau bagaimanapun, apa yang diperkatakan oleh Nafuzi juga perlu diambil perhatian kerana pihak pengurusan seharusnya membincangkan segalanya dengan ketua jurulatih terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang keputusan.

Mereka juga perlu menawarkan kontrak lanjutan yang seharusnya lebih panjang tatkala Nafuzi telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak beberapa musim ini.

Tempoh kontrak lanjutan satu tahun serta pengesahan di minit akhir adalah sebuah tindakan yang dilihat tidak rasional untuk dilakukan oleh sebuah kelab profesional.

Dalam pada itu, Fadhil juga tidak melihat penyerahan surat tawaran melalui ‘kitman’ sepertimana yang dikatakan oleh Nafuzi sebagai tindakan yang salah.

Beliau mempertahankan situasi tersebut dengan melihat ‘kitman’ juga merupakan salah sorang staff yang berkhidmat untuk pasukan.

Tetapi, tidak dapat dinafikan seharusnya pihak pengurusan menyalurkan surat tersebut melalui cara yang lebih baik memandangkan ia dituju kepada salah seorang individu yang begitu penting di dalam pasukan.

Jika hendak dilihat dari segi jasa Nafuzi untuk kelab, apa yang dilakukan itu tidak patut dan sepatutnya ditangani dengan lebih baik oleh pihak pengurusan.

Tindakan-tindakan sebegini sememangnya sudah mengganggu ‘mood’ dan ‘momentum’ semasa pasukan Terengganu yang cukup cemerlang musim ini.

Terengganu kini di landasan terbaik untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas mereka melayakkan diri ke saingan separuh akhir yang akan berlangsung pada 16 November ini bertemu Selangor FC di tempat lawan untuk perlawanan pertama.

Skuad Penyu sebelum ini kecundang di final Piala FA dan juga hanya mampu merangkul naib juara Liga Super – di belakang gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).