Tan Boon Heong jadi ‘sparring partner’ Pearly-Thinaah, perlu kekal sehingga ke Sukan Olimpik 2024
Legenda beregu lelaki negara, Tan Boon Heong ketika ini difahamkan sedang membantu pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dalam persiapan mereka ke Jelajah Dunia Akhir BWF yang bakal berlangsung pada Disember ini.
Boon Heong memberi gambaran tidak akan menerima sebarang tawaran sebagai jurulatih buat masa ini kerana lebih selesa membantu tanpa sebarang ikatan kontrak.
Pada ketika ini, beliau dijemput menjadi sebagai ‘sparring partner’ buat pasangan tersebut bagi membantu bekas jurulatihnya, Rexy Mainaky yang kini menjadi Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Peluang ini dilihat sangat baik tatkala pasangan utama negara itu berpeluang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu daripada bekas pemain berusia 35 tahun tersebut yang telah terbukti pencapaiannya di peringkat antarabangsa.
Boon Heong dan pasangannya, Koo Kien Keat telah berjaya meraih pelbagai gelaran sepanjang karier mereka.
Antaranya adalah sewaktu bergelar juara terbuka All England pada tahun 2007 sewaktu menumpaskan seteru utama dari China, Cai Yun-Fu Haifeng.
Setahun sebelum itu, mereka telah berjaya memenangi pingat emas di Sukan Asia pada edisi 2006 yang berlangsung di Doha, Qatar.
Kehebatan mereka di atas gelanggang mengangkat mereka menjadi beregu No. 1 dunia pada tahun 2007 dan kali terakhir berada di kedudukan tersebut adalah pada tahun 2010.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pemilihan Rexy adalah tepat dan seharusnya dikekalkan untuk tempoh yang lebih panjang sekurang-kurangnya bagi melayakkan diri ke saingan Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Mungkin Rexy juga boleh mempertimbangkan untuk membawa sekali Kien Keat bagi menambahkan lagi kualiti serta kekuatan latihan yang akan turut meningkatkan prestasi kedua-dua pemain ini.
Terkini, Pearly-Thinaah baru sahaja berjaya naik ke kedudukan kelapan dunia buat pertama kali selepas meraih pelbagai kejayaan dalam tempoh terdekat termasuk menjuarai saingan Terbuka Perancis 2022.
Dengan adanya bantuan daripada legenda seperti Boon Heong dan Kien Keat, tidak mustahil pasangan ini boleh mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan untuk terus menggegarkan arena beregu wanita dunia.
Telah sekian lama kita tidak dapat melihat pasangan beregu wanita Malaysia berjaya mendominasi saingan antarabangsa.
Sebelum ini, kita miliki pasangan seperti Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang pernah berjaya berada di kedudukan No. 1 dunia pada tahun 2009.
Tidak dilupa kehebatan pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang juga berjaya meletakkan diri di kelompok 10 teratas dunia satu ketika dahulu.
Peningkatan luar biasa ditunjukkan oleh Pealy-Thinaah mampu untuk menjulang kembali nama Malaysia di dalam acara beregu wanita dunia satu hari nanti.
Cabaran terdekat mereka adalah untuk mengekalkan rentak kecemerlangan bagi memastikan kemaraan di Jelajah Dunia Akhir BWF yang bakal membuka tirai pada 7 Disember ini di Bangkok.