Luis Enrique jadi ‘streamer’ untuk lebih dekat dengan penyokong, KPG perlu cuba contohi di Piala Asia

326

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-Gon mungkin boleh mula berfikir-fikir untuk mengikut jejak langkah yang diambil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique.

Baru-baru ini, beliau telah menggemparkan dunia bola sepak antarabangsa selepas beliau menyatakan hasratnya untuk menjadi ‘streamer’ sepanjang bertanding di Piala Dunia Qatar tahun ini.


Beliau akan menggunakan platform Twitch untuk sama-sama berkongsi dengan penyokong pasukan Sepanyol sebarang perkembangan yang berlaku pada kejohanan terbesar dunia tersebut.

Pekara ini dilihat sebagai salah satu inisiatif yang baik untuk dilakukan oleh seorang jurulatih ternama seperti Enrique.

 Semestinya perkara ini akan menarik minat para penyokong untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan negara tersebut malah ia juga bukan tertumpu kepada warganegara Sepanyol semata-mata memandangkan platform tersebut boleh diakses secara terbuka.

Enrique bercadang untuk mula melakukan sesi ‘streaming’ pada 18 November ini setibanya mereka di Qatar pada pagi tersebut.

Platform ‘streaming’ yang tidak mempunyai batasan terlampau ketat seperti Twitch akan memudahkan Enrique untuk berinteraksi bersama peminat bagi membincangkan hal-hal berkenaan perjalanan skuad La Furia Roja di Piala Dunia kelak.

Pan-gon boleh menggunakan kaedah ini semasa pasukan negara bertandang ke tempat yang sama, Qatar bagi menghadapi saingan Piala Asia tahun hadapan.

Ia semestinya akan menjadi tarikan utama kepada peminat bola sepak negara yang sentiasa menantikan perkembangan-perkembangan terkini pemain sewaktu sedang bertanding di mana-mana kejohanan.

Penyokong Harimau Malaya juga akan berasa lebih dekat dengan jurulatih serta para pemain meskipun mereka beraksi beribu kilometer jauh dari Malaysia.

Di era teknologi moden ini, penggunaan platform media sosial seperti ini boleh dipertimbangkan sebagai antara medium penghubung terkuat di antara jurulatih, pemain serta peminat.

Tidak mustahil faktor-faktor sebegini akan menarik lebih ramai penyokong untuk sama-sama membanjiri stadium setiap kali pasukan kebangsaan beraksi di tempat sendiri.

Enrique akan membimbing pasukan Sepanyol berhadapan dengan laluan getir peringkat kumpulan selepas mereka diundi bersama bekas juara, Jerman.

Sepanyol juga akan berhadapan dengan saingan kuat dari gergasi Asia, Jepun serta wakil Amerika Utara, Costa Rica.

Ini menjadikan Kumpulan E sebagai antara kumpulan maut selain daripada Kumpulan H yang dibarisi oleh negara seperti Portugal, Ghana, Uruguay dan Korea Selatan.

Sama-sama kita nantikan kemeriahan Piala Dunia yang akan bermula tidak lama lagi!