Pemain tipu umur, Gourav Mukhi antara kes paling menarik sepanjang abad

1,238

Pada tahun 2018, seorang pemain berasal dari India Bernama Gourav Mukhi telah diberikan penggantungan selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) selepas mendapat tahu beliau melakukan penipuan umur.

Beliau pada ketika itu dikatakan baru berumur 16 tahun namun menurut dokumentasi rasmi, fakta menunjukkan bahawa Mukhi sebenarnya berusia 28 tahun.


Kes tersebut menjadi perhatian AIFF dan orang ramai selepas beliau yang beraksi bersama Jamshedpur FC berjaya menjaringkan satu gol pada perlawanan menentang Bengaluru FC dan dinobatkan sebagai penjaring gol termuda untuk Liga Super India.

Beberapa bulan selepas itu, Mukhiv kembali bersama pasukan selepas penggantungan beliau dilucutkan oleh badan induk bola sepak India tersebut.

Kini, Mukhiv beraksi bersama pasukan BSS Sporting yang bersaing di Divisyen Perdana Calcutta musim ini.

Selain Mukhiv, sebenarnya ada banyak kejadian seperti ini yang telah berlaku sebelum-sebelum ini melibatkan pemain lain dari beberapa negara.

Pada tahun 2021, tular tentang sebuah kes melibatkan pemain tengah Red Star Belgrade, Guelor Kanga yang dituduh telah memalsukan umur dan identity beliau.

Ada pihak yang mengatakan bahawa Kanga sebenarnya berumur lima tahun lebih tua daripada usia yang beliau nyatakan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Konfederasi Bola Sepak Afrika Selatan tidak memanjangkan perbicaraan kes ini kerana tidak dapat mengenalpasti sebarang keraguan terhadap pendaftaran pemain tersebut.

Kanga merupakan antara pemain utama buat pasukan Red Star Belgrade, beliau telah beraksi sebanyak 14 kali musim ini dan berjaya menjaringkan empat gol serta mencatatkan empat bantuan jaringan.

Selain dua pemain ini, Meschak Elia dari Congo telah digantung selama setahun oleh Persekutuan Bolasepak Congo (Fecofa) selepas beliau mengaku menipu umurnya pada tahun 2019 yang lalu.

Beliau yang lahir pada tahun 1996 memberitahu bahawa umurnya pada ketika itu adalah 22 walhal Elia sepatutnya berusia 23 tahun ketika itu.

Elia yang kini berusia 25 tahun merupakan antara pemain utama kelab Switzerland, BSC Young Boys pada musim ini.

Dalam saingan liga domestik, beliau berjaya menjaringkan empat gol selepas 15 perlawanan serta menjadi antara penjaring utama buat kelab tersebut dalam saingan UEFA Conference League setakat ini.

Setakat ini, masih belum ada pemain Malaysia yang ditangkap atau digantung akibat daripada kes penipuan umur seperti ini.

Namun, ada beberapa pemain negara yang dituduh melebihi umur sepatutnya oleh penyokong lawan sebagaimana yang berlaku kepada ketua pasukan skuad B-19 negara, Aysar Hadi sebelum ini.

Umur pemain tersebut dipersoal oleh beberapa penyokong pasukan Laos selepas beliau berjaya memperagakan aksi yang cukup memukau sewaktu membantu skuad muda negara untuk menewaskan mereka di saingan Piala AFF B-19 tahun ini.