Tan Cheng Hoe belum mahu dabik dada, harap tiga gol jadi penambah keyakinan pemain

231

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak mahu pemain beliau berasa terlalu selesa dengan kemenangan besar 3-1 pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia malam ini (16 November).

Ini kerana beliau menyedari kualiti serta kemampuan yang dimiliki oleh pasukan Terengganu FC dalam melakukan sebarang kejutan.


“Sebagai jurulatih, belum lagi kerana kita masih ada 90 minit dan jaringan 3-1 bukan satu jaminan untuk kita layak ke final.

Tapi kita kena bertandang ke stadium Terengganu dengan keyakinan dan tidak memandang rendah perlawanan tersebut kerana kita tahu kombinasi pemain Terengganu yang cukup merbahaya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walau bagaimanapun, beliau tetap memuji persembahan anak buahnya tatkala kesemua pemain diturunkan berjaya membalas kepercayaan dengan sangat baik.

Terutama sekali di bahagian pertahanan yang cukup cemerlang mencantas kemaraan barisan serangan lawan meskipun dikejutkan dengan gol pertama pada awal perlawanan.

“Saya rasa ini adalah persembahan yang baik daripada pemain mereka bekerja keras dan fokus dalam menghalang serangan daripada Terengganu.

Yang penting saya rasa pertahanan memainkan peranan cukup penting, tiga gol daripada sepakan sudut itu memberikan keyakinan untuk kita berhadapan dengan 90 minit lagi.”

Tambahnya lagi, ini merupakan pertama kali sepanjang karier beliau selaku seorang jurulatih untuk mencapai kemenangan menerusi tiga gol yang terhasil daripada sepakan sudut.

Kombinasi kesemua pemain yang dipilih pada malam ini berjaya meneruskan rentak kecemerlangan pasukan Gergasi Merah semenjak berada di bawah bimbingan Cheng Hoe.

“Itulah pertama kali saya merasai tiga gol daripada tiga sepakan sudut, saya yakin perkara tersebut bukan sekadar nasib dan kita sudah melakukan latihan dengan baik.

Hantaran Mukhairi Ajmal sangat baik dan sebab itulah mereka berjaya jaringkan gol.”

Pada masa yang sama, beliau juga turut gembira dengan perkembangan positif yang telah ditunjukkan oleh para pemain setakat ini.

Cheng Hoe melihat para pemain sudah berjaya menyesuaikan diri dengan baik terhadap pendekatan permainan yang cuba diterapkan oleh beliau.

“Saya gembira dengan persembahan setiap pemain yang telah mereka tunjukkan dan rata-rata kita lihat pada setiap latihan mereka cukup komited.

Yang penting adalah kerjasama setiap pasukan yang cukup bagus.”