Saya suka taktikal TCH, mungkin ia sesuai dengan saya – V. Ruventhiran

800

Pemain PJ City FC, V. Ruventhiran mengakui beliau suka dengan taktikal yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe dalam pasukan Selangor FC dan berkata ia mungkin sesuai dengan corak permainannya.

Ruventhiran berkata demikian apabila namanya kini disebut-sebut bakal berhijrah ke Gergasi Merah pada musim depan selepas PJ City menarik diri dari saingan Liga Super pada musim depan.


“Beliau (TCH) seorang jurulatih yang bagus kerana beliau pernah mengendali pasukan kebangsaan sebelum ini dan saya sangat suka dengan taktikal beliau, jadi ia mungkin akan sesuai dengan saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan mendapat tawaran daripada beberapa kelab dan kini sedang dalam perbincangan bersama ejennya.

Pemain sayap berusia 21 tahun ini bagaimanapun enggan mendedahkan samada beliau akan kekal di Lembah Klang atau tidak kerana keutamannya ketika ini adalah untuk terus dapat beraksi di Liga Super.

Dalam pada itu, Ruventhiran memberitahu fokus beliau kini adalah untuk terus mempertingkatkan permainannya supaya menjadi lebih matang.

Beliau juga kini sedang menanti senarai pemain yang akan dipanggil oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon untuk menjalani latihan kem berpusat bagi menghadapi kejohanan Piala AFF yang akan berlangsung pada Disember ini.

Sementara itu, Ruventhiran yang telah bersama PJ City selama empat tahun mengakui berasa sedih apabila kelab itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan saingan di Liga Super pada musim hadapan.

“Bagi saya pasukan PJ City adalah platform untuk pemain tempatan membuktikan kemampuan mereka kerana ia dibarisi oleh seratus peratus pemain tempatan. Seperti saya sendiri, mereka telah beri kepercayaan kepada saya untuk beraksi dalam saingan Liga Super dan akhirnya saya berjaya beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Saya sangat gembira bersama PJ City. Apabila saya dengar mereka akan tutup ia adalah berita sedih tapi tidak boleh buat apa-apa kerana pemilik sudah buat keputusan.”

Beliau pada masa turut mendedahkan situasi semasa rakan sepasukannya yang mana ada sudah mempunyai pasukan baru dan ada juga yang sedang bergelut untuk berhijrah.

“Bagi pemain yang konsisten mereka sudah ada pasukan tapi untuk pemain yang tidak konsisten mereka sedang bergelut untuk cari pasukan. Saya harap mereka akan dapat pasukan baru nanti.”