Persis Solo sedang hangat diperkatakan bakal jalin kerjasama dengan gergasi Manchester City
Buat peminat bola sepak tanah air pasti ramai yang baru mengetahui mengenai kelab Persis Solo selepas mereka mengadakan perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Persis Solo adalah sebuah kelab yang sedang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia yang mana salah seorang pemain importnya iaitu Fernando Rodriguez juga merupakan bekas pemain JDT.
Hubungan baik antara pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris dengan bekas pemainnya telah memperlihatkan perlawanan persahabatan itu dapat direalisasikan.
Sebaik sahaja selesai kem latihan di Malaysia, kelab tersebut kini sedang hangat diperkatakan bakal menjalin kerjasama dengan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City apabila pemilik Persis Solo, Kaesang Pangarep telah bertemu dengan pemilik kelab itu, Sheikh Mansour.
Foto yang tular di media sosial itu turut menyaksikan pertemuan tersebut turut disertai oleh Presiden Indonesia, Jokowi dan juga Presiden UAE, Syeikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan.
Setelah Man City, PSG, dan Newcastle United kayaknya Persis Sala berikutnya juga akan berbau Sar Kliwon..
— Komisi Wasit (@MafiaWasit) November 14, 2022
Fulussss fulusssss… pic.twitter.com/zFU9DEJRrd
Berita itu nyata mencetuskan keterujaan peminat bola sepak Indonesia terutamanya peminat Persis Solo yang melihat pertemuan itu seperti memberi bayangan bahawa kedua-dua kelab itu akan bekerjasama.
Rata-rata peminat nyata bersetuju sekiranya Persis Solo menjalin kerjasama dengan Manchester City kerana ia akan membuka ruang dan peluang kepada kelab kesayangan mereka untuk mempunyai kuas membeli yang lebih besar sekaligus dapat membawa masuk pemain-pemain berkualiti.
Ini kerana ketika ini Persis Solo berada di kedudukan ke-14 liga selepas 11 perlawanan apabila hanya mencatatkan tiga kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.
Sekiranya kerjasama ini menjadi kenyataan, ia akan menjadi tonik tambahan buat kelab tersebut dan tidak mustahil untuk mereka menjadi pencabar utama untuk kejuaraan Liga 1 Indonesia.
Bagaimanapun jika kerjasama ini terjalin ia bukan kelab pertama di Asia Tenggara yang menjalin kerjasa dengan gergasi EPL itu kerana Manchester City terlebih dahulu menjalin kerjasama dengan kelab di Liga Super Malaysia iaitu PJ City FC.
Kerjasama antara PJ City dan Manchester City telah menyaksikan kelab dari England itu telah menghantar tenaga pakar untuk menjadi Pengarah Teknikal.
Sayangnya apabila PJ City mengumumkan bahawa mereka tidak akan bersaing lagi pada musim hadapan dan kini sedang mencari pemilik baru.
Sementara itu, tidak dapat dinafikan ada kemungkinan besar ahli perniagaan dari Timur Tengah kini mula mencari peluang untuk memiliki kelab bola sepak di rantau Asia Tenggara kerana lebih murah pada masa sama dapat mengukuhkan lagi portfolio perniagaan mereka.