Peluang nak lihat pemain Liga Super beraksi di Piala Dunia tak kesampaian

1,347

Bahang kejohanan Piala Dunia 2022 Qatar semakin dirasai apabila ia bakal membuka tirai pada 21 November ini dengan tuan rumah Qatar akan menentang Ecuador.

Walaupun hanya 32 pasukan daripada benua yang akan beraksi, namun ia tetap mendapat perhatian seluruh peminat bola sepak di dunia.


Apabila bercakap mengenai Piala Dunia sememangnya agak mustahil untuk melihat kelibat pemain yang beraksi di Liga Malaysia untuk terpilih beraksi di Piala Dunia mewakili negara masing-masing.

Pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva merupakan penyerang prolifik liga tanah air apabila menjadi penjaring terbanyak pada musim ini, malah beliau juga tersenarai antara lima pemain yang menjaringkan gol terbanyak di dunia.

Beliau yang menjaringkan lebih 41 gol bersama JDT telah meletakkan beliau sebaris dengan bintang terkenal dunia seperti Kylian Mbappe (46 gol), Erling Haaland (42 gol), German Cano (42 gol) dan Robert Lewandowski (40 gol).

Ramai peminat Harimau Selatan yang merasakan penyerang kesayangan mereka itu patut berada dalam skuad Piala Dunia Brazil tahun ini atas prestasi yang cukup cemerlang bersama pasukannya musim ini.

Namun realitinya kehebatan Bergson hanyalah di Liga Malaysia sahaja kerana di luar negara beliau seorang pemain biasa dan jika hendak dibandingkan dengan pemain Brazil lain terpilih umpama ‘langit dan bumi’ kerana pemain yang tersenarai ke Piala Dunia beraksi di liga tertinggi dunia.

Dalam pada itu, peluang untuk melihat seorang lagi pemain yang beraksi di Liga Super iaitu Giancarlo Gallifuoco juga tidak kesampaian walaupun beliau telah membantu KL City FC menjadi naib juara Piala AFC baru-baru ini.

Giancarlo atau mesra dengan panggilan GG sebelum ini juga pernah mempersoal tindakan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Australia apabila tidak memanggilnya untuk menyarung jersi Socceroos walaupun ranking Liga Malaysia jauh lebih baik dari A League.

Sementara itu, seorang lagi pemain iaitu Rodney Celvin juga mempunyai peluang untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Ghana berikutan beliau mempunyai darah kacukan Malaysia-Ghana dan tidak menolak kemungkinan untuk beraksi bersama Ghana sekiranya mendapat panggilan dari negara itu.

Rodney atau mesra dengan panggilan Bonai pada musim lalu telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang namun tidak dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya sehingga menimbulkan persoalan daripada peminat.

Bagaimanapun pada musim ini prestasi Bonai agak tenggelam bersama Kedah Darul Aman FC, tambahan pula Ghana juga mempunyai ramai pemain yang beraksi di liga tertinggi dunia membuatkan pemain itu mustahil untuk dapat mewakili negara Afrika itu.

Apa pun kita harapkan satu hari nanti ada pemain dari Liga Malaysia akan beraksi di Piala Dunia.