Jika ada pemain dari kelab tempatan beraksi di Piala Dunia 2026 ia akan jadi bukti Liga Malaysia adalah liga elit
Piala Dunia edisi 2022 di Qatar akan menjadi kejohanan bola sepak berprestij dunia akan menggunakan format 32 pasukan.
Ini kerana pada Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico nanti akan menyaksikan sebanyak 48 pasukan dari enam benua akan bersaing untuk merebut trofi berprestij itu.
Format baru itu diperkenalkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk memberi peluang kepada pasukan kecil lain untuk turut serta dalam kejohanan empat tahun sekali itu.
Penambahan jumlah pasukan ini juga akan menyaksikan slot untuk negara Asia akan turut bertambah dan ini akan memberi ruang dan peluang kepada pasukan di Asia Tenggara untuk mencipta sejarah layak ke Piala Dunia.
Walaupun tampak agak mustahil untuk pasukan kebangsaan Malaysia untuk ke Piala Dunia, namun ia tidak mustahil untuk melihat pemain-pemain yang beraksi di Liga Malaysia beraksi di Piala Dunia 2026.
Ini berikutan kualiti liga tempatan semakin meningkat apabila ranking Liga Malaysia kini berada pada kedudukan No.1 di Asia Tenggara dan No.8 di Asia.
Kejayaan ini telah menyaksikan Liga Malaysia telah mengenepikan liga negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam.
Dengan kedudukan ranking terbaru ini juga akan menjadikan Liga Malaysia tarikan kepada pemain-pemain di luar untuk bermain di sini.
Juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga antara kelab agresif dalam membawa masuk pemain-pemain bintang dan terbaru dilaporkan mereka berminat untuk membawa masuk pemain Argentina, Papu Gomez pada musim hadapan.
Pemain berusia 34 tahun itu yang beraksi bersama Sevilla FC tersenarai dalam skuad Piala Dunia 2022 Argentina dan jika JDT berjaya dapatkan khidmat Papu, ia membuktikan Liga Malaysia semakin dikenali.
Liga Malaysia juga bukan asing di mata dunia kerana sudah ramai pemain yang pernah bermain di Piala Dunia beraksi di Liga Malaysia.
Antaranya Pablo Aimar, El Hadji Diouf, Jerry Palacios, Kim Do-Heon, Basko Balaban, Joel Epalle dan beberapa lagi.
Liga Malaysia mempunyai tempoh empat tahun lagi untuk terus mempertingkatkan kualiti ke tahap lebih tinggi di peringkat antarabangsa dan sekiranya kelab dari Malaysia terus mencipta kejayaan di peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ia pasti akan menarik lebih banyak pemain terbaik.
Sekiranya ada pemain di Liga Malaysia beraksi di Piala Dunia 2026 ia akan mengangkat kelab dan liga tempatan kepada status elit.